Ilustrasi tangkapan penjenayah. Grafik Media Selangor
AGENDAJENAYAH

Dua ADN DAP patut didakwa bukan ditahan 28 hari

GEORGE TOWN, 11 OKT: Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy hari ini berkata, tujuh individu yang disyaki terlibat dengan kumpulan militan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) tidak sepatutnya ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Beliau berkata, mereka sepatutnya dibawa ke mahkamah dan didakwa atas apa-apa jenayah yang mungkin dilakukan mereka dan bukannya penahanan tanpa perbicaraan.

SOSMA membenarkan orang yang ditangkap ditahan sehingga 28 hari tanpa perbicaraan bagi tujuan penyiasatan.

Bercakap kepada pemberita di pejabatnya, Ramasamy berkata, polis harus mendakwa mereka yang ditahan sekiranya mempunyai bukti jenayah yang mungkin dilakukan mereka.

Tujuh individu termasuk dua Ahli Dewan Negeri (ADN) masing-masing dari Melaka dan Negeri Sembilan, ditahan semalam kerana disyaki mempunyai hubungan dengan LTTE.

Ramasamy berkata, beliau dimaklumkan bahawa dua ADN terbabit menghadiri majlis penghormatan kepada orang Tamil yang maut semasa pergolakan di Sri Lanka pada 1980-an dan tidak merasakan bahawa mereka terlibat dalam aktiviti LTTE.

Beliau berkata, sokongan terhadap orang Tamil di Sri Lanka tidak sepatutnya disalah anggap sebagai menyokong LTTE.

“LTTE berbeza, urusan Tamil juga berbeza,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :