Fenomena air pasang besar yang melanda dua kampung di Kuala Selangor pada 28 Oktober 2019.
AGENSISELANGOR

Dua kampung di Kuala Selangor dilanda air pasang besar

KUALA SELANGOR, 28 OKT: Dua kampung iaitu Kampung Siam dan Kampung Buah-Buahan dinaiki air pagi tadi ekoran fenomena air pasang besar.

Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berkata, setakat ini kesemua penduduk yang terlibat sudah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasangan.

“PSP di SK Pasangan telah mencapai seramai 37 keluarga dengan jumlah 117 mangsa,” katanya kepada SelangorKini

Menurutnya, sebanyak 245 buah keluarga atau 784 orang mangsa banjir di Kampung Parit Mahang Ijok pula telah ditempatkan di PSP SK Parit Mahang.

Kata Juwairiya, penduduk dinasihatkan berwaspada kerana dikhuatiri fenomena air pasang berlaku lagi sebelum 30 Oktober ini.

“Unit Bencana Daerah telah bersedia untuk menghadapi dan mengurus banjir ini. Semoga semua selamat dan bersama-sama kita doakan agar banjir akan segera surut,” katanya.

Sementara itu, Bernama melaporkan, bilangan mangsa banjir di Johor, Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor meningkat kepada 1,974 orang daripada 559 keluarga setakat pukul 12 tengah hari tadi, berbanding 1,676 orang daripada 466 keluarga pada pukul 8 pagi.

Menurut laporan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), di Johor, lapan PPS dibuka di lima daerah iaitu di Batu Pahat, Johor Bahru, Kulaijaya, Kluang dan Pontian melibatkan seramai 595 mangsa daripada 142 keluarga.

Di Perak, bilangan mangsa banjir turut meningkat kepada 410 orang daripada 101 keluarga yang ditempatkan di tiga PPS di Hilir Perak dan masing-masing satu di Batang Padang dan Kerian.

Bilangan mangsa banjir di Kedah juga meningkat kepada 61 orang daripada 39 keluarga yang ditempatkan di dua PPS di Kulim dan Pendang.

Dalam pada itu, jumlah mangsa banjir di Kuala Selangor, Selangor dan Seberang Perai, Pulau Pinang masing-masing kekal 784 orang daripada 245 keluarga dan 124 orang daripada 32 keluarga.

NADMA turut melaporkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di barat daya dan timur laut Pulau Pinang sehingga pukul 3 petang ini.


Pengarang :