Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli bersantap pagi di kediaman Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Kennedy Jawan hari ini. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Duta Besar Malaysia terharu Agong cemar duli bersantap di rumah

TOKYO, 23 OKT: “Saya gemuruh sebenarnya memasak untuk Raja Permaisuri Agong kerana nama baginda memang tersohor dalam bidang masakan,” akui Datin Josepine Anak Dagang yang berpeluang menjamu juadah masakannya kepada Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Josepine yang jugaisteri kepada Duta Besar Malaysia di Jepun Datuk Kennedy Jawan berkata beliau terkejut apabila dimaklumkan kesudian Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Azizah mencemar duli bersantap pagi di kediaman mereka di Kedutaan Malaysia di sini, pada Rabu.

Bagi menghargai perkenan Seri Paduka berdua, Josepine berkata juadah yang disediakan ialah nasi lemak, rendang daging, sotong masak kicap, udang masak lemak dan karipap selain turut menyajikan mi goreng, kuih lapis dan seri muka yang disediakan rakyat Malaysia di situ.

“Bimbang jika masakan saya tidak menepati citarasa Seri Paduka berdua kerana saya bukanlah tukang masak yang hebat. Saya mengagumi kehebatan Tunku Azizah dalam bidang masakan sehingga mempunyai sebuah buku masakan baginda dan pernah mencuba resipi di dalamnya.

“Tetapi saya beranikan juga untuk memasak hari ini kerana tahu peluang seperti ini tidak mudah diperoleh,” katanya kepada Bernama semasa ditemui di rumahnya di sini.

Josepine berkata beliau dimaklumkan kesudian Seri Paduka berdua mencemar duli ke kediamannya pada petang semalam, dan sejak itu segera membuat persediaan termasuk membeli barang basah dengan bantuan kakitangan dan isteri rakyat Malaysia di sini.

Sementara itu, Kennedy berkata beliau memberanikan diri untuk mengundang Al-Sultan Abdullah bersantap pagi di kediamannya secara spontan dan terharu apabila Seri Paduka dengan pantas menzahirkan perkenan untuk memenuhi undangan tersebut.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berada di sini sejak Isnin selepas berkenan mencemar duli memenuhi undangan kerajaan Jepun untuk menghadiri Upacara Pertabalan Maharaja Ke-126 mereka, Maharaja Naruhito yang berlangsung di Istana Imperial di sini, semalam.

Maharaja Naruhito, 59, dimasyhurkan sebagai Maharaja pada 1 Mei lalu selepas ayahanda baginda Maharaja Akihito, 85, melepaskan kedudukan tertinggi dalam hierarki pemerintahan negara matahari terbit itu atas faktor kesihatan.

Pemasyhuran itu menandakan bermulanya era baharu Jepun, iaitu ‘Reiwa’ yang bermaksud harmoni dan tertib dan mengakhiri era ‘Heisei’ bererti mencapai keamanan di bawah pemerintahan Maharaja Akihito.

-BERNAMA


Pengarang :