Perasmian Selangor Cyber Games 2019 oleh Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari di Central I City Shah Alam pada 26 Oktober 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

E-sukan diiktiraf bukti pendekatan dibuat Selangor berkesan – MB

SHAH ALAM, 26 OKT: Pendekatan awal diambil Kerajaan Negeri bagi menyemarakkan industri sukan elektronik (e-Sports) berbaloi apabila sukan berkenaan diiktiraf sebagai acara yang bakal dipertandingkan pada temasya Sukan SEA 2019 Filipina dan Sukan Malaysia (SUKMA) Johor 2020.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, perkara itu dibuktikan menerusi penganjuran Selangor Cyber Games (SCG) bermula sejak 2014 dan menjadi jenama disegani dalam kalangan penggiat e-sukan di negara ini.

Katanya, saban tahun industri e-sukan semakin berkembang bukan sahaja daripada segi pemain, tetapi pelaburan dan peluang kerjaya sepenuh masa untuk anak muda, khasnya di Selangor.

“Kita bangga dengan pelaburan yang mula dibuat pada 2014, malahan kini e-sukan berkembang sangat besar dan sebahagian daripada bakat yang dikesan atau memenangi SCG sudah mewakili serta mengharumkan nama negara.

“Ini adalah satu imej kepada kita memandangkan Selangor yang sebenarnya memulakan bidang e-sukan dan ini (e-sukan) masa hadapan yang sangat cerah untuk generasi muda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Selangor pada Majlis Perasmian SCG 2019, di pusat beli-belah Central I-City, di sini hari ini.

Turut hadir, EXCO Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman; Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi dan Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS), Adi Faizal Ahmad Tarmizi.

Hadir sama, Naib Presiden Telekom Malaysia (TM) Selangor, Dato’ Zuraidah Mohd Said; Ketua Pegawai Eksekutif Mineski Event Team (MET), Kenchi Yap dan Ketua Pegawai Operasi Central I-City, Anthony Dylan.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, penganjuran SCG menjengah edisi keenam itu jelas membuktikan Kerajaan Negeri serius dalam membangunkan industri e-sukan, selain mencungkil bakat pemain berpotensi yang mampu diketengahkan sehingga ke peringkat antarabangsa.

Melihat kepada perkembangan itu, katanya, pihaknya bersedia menawarkan pertandingan seumpama itu di peringkat antarabangsa pada tahun hadapan.

“Penyertaan kali ini sangat baik dengan secara keseluruhannya terdapat lebih 3,000 peserta sejak daripada proses saringan pusingan awal yang dianjurkan secara dalam talian.

“Malah, saya gembira dengan perkembangan ini kerana ia dapat memberi peluang terbaik kepada bakat yang sudah berlatih dalam kejohanan kecil mahupun pertandingan sesama mereka (pemain) di pusat siber kafe,” katanya.

Terdahulu, SCG 2019 berlangsung selama dua hari mulai 26 hingga 27 Oktober dengan menyaksikan pemain e-sukan dari seluruh Malaysia beraksi bagi merebut hadiah wang tunai terkumpul RM215,000 menerusi empat kategori acara.

Empat acara ditawarkan antaranya Dota 2, PlayerUnknown’s Battlegrounds Mobile, Fifa 20 dan Tekken 7.

Acara tahunan ini mendapat kerjasama hebat MSNS, MET, Big Machinez, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Persatuan E-Sukan Selangor (ESS), Penggerak Belia Tempatan (PeBT), TM Unifi dan Tencent selaku penerbit permainan

Difahamkan juga, edisi kali ini memberikan keutamaan secara menyeluruh dengan pembabitan kumpulan Millenial dan Generasi Z.


Pengarang :