Altimet (kanan) dan Malik Abdullah (kiri) bergambar bersama maskot Ejen Ali selepas Pratonton “Ejen Ali The Movie” di GSC, Mid Valley Mall, Kuala Lumpur pada 23 Oktober 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONALSENI

Ejen Ali filem animasi aksi paling dinanti

KUALA LUMPUR, 23 OKT: Pernah meraih lebih dua juta tontonan, Ejen Ali kini diangkat dari kaca televisyen ke layar perak serta ditayangkan secara serentak di seluruh pawagam di Malaysia, Singapura dan Brunei bermula 28 November akan datang.

Animasi bersiri yang turut mempunyai lebih dari 1.4 juta pengikut di laman rasmi YouTube itu turut menampilkan penyanyi rap terkenal, Altimet.

Selain menyumbangkan lagu tema ‘Kita Jaga Kita’ pada filem berkenaan, Altimet juga tidak ketinggalkan tampil khas pada salah satu adegan sebagai watak Andik.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Wau Animation, Usamah Zaid Yasin berkata, penambahan watak dan perincian latar membuatkan pihaknya menggandakan usaha bagi membolehkan Ejen Ali The Movie ditayangkan.

Usamah Zaid Yasin bersama Datuk Ahmad Izham Omar, pelakon suara dan barisan penaja filem selepas Pratonton “Ejen Ali The Movie” di GSC, Mid Valley Mall, Kuala Lumpur pada 23 Oktober 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Sudah pasti Wau Animation cukup teliti, baik dari segi lakaran watak, perincian pergerakan setiap karekter, aturan babak, latar dan pelbagai aspek lain dalam menghidupkan animasi ini di layar perak.

“Setiap elemen memerlukan proses panjang, malah kerja praproduksi filem ini sudah dimulakan sejak dua tahun lalu, terutama membabitkan lakaran. Kita mahu filem ini sama tahapnya dengan produk keluaran syarikat antarabangsa seperti Pixar, ‎Walt Disney Pictures dan Sony Pictures Animation.

“Semoga usaha serta keringat yang dicurahkan dalam penghasilan filem ini dapat menjangkaui harapan peminat tegar animasi Ejen Ali,” katanya.

Sementara itu, CEO Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar berkata, 2019 adalah tahun animasi tempatan mendominasi carta industri perfileman negara.

Sesi sidang media selepas Pratonton “Ejen Ali The Movie” di GSC, Mid Valley Mall, Kuala Lumpur pada 23 Oktober 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Filem yang ditayangkan sempena cuti sekolah akan datang ini diharapkan mendapat sokongan pecinta filem.

“Tahniah kepada Wau Animation di atas karya hebat dah sumbangan mereka sekali gus berjaya membawa industri perfileman Malaysia ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Kedua-duanya ditemui ketika Majlis PraTonton Ejen Ali The Movie di GSC Mid Valley, hari ini.

Pada majlis yang sama, Primeworks Studios dan Wau Animation turut mengumumkan rakan kolaborasinya termasuk Tenaga Nasional Berhad sebagai penaja utama disertai Mydin dan Pedisure.


Pengarang :