AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Ekonomi gig diberi tumpuan dalam RMK-12

KUALA LUMPUR, 24 OKT: Ekonomi gig akan diberi tumpuan dalam penyediaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) sebagai satu daripada sumber pertumbuhan ekonomi baharu, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, kemunculan ekonomi gig membuka lapangan pekerjaan baharu yang dapat meningkatkan pendapatan isi rumah dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.

“Anjakan ini akan memberi peluang kepada anak muda khususnya graduan baru, suri rumah dan mereka yang dalam proses peralihan pekerjaan, sekali gus membawa mereka untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis makan malam Simposium Peruncitan Kebangsaan (SPark 2019) anjuran Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB), di sini, malam ini.

Ekonomi gig adalah satu kegiatan ekonomi yang dijalankan oleh seseorang individu tanpa ada majikan dengan cara menjual perkhidmatan kepada orang lain, dan dijalankan sama ada secara sepenuh masa atau separuh masa.

Mohamed Azmin berkata, revolusi ekonomi ini adalah imperatif untuk merangkul bakat baru serta membuka akses kepada perkembangan sektor perniagaan.

“Kita amat komited untuk membangunkan ekonomi digital khususnya bagi menyediakan modal insan yang berkepakaran dan berkemahiran,” katanya.

Kerajaan memperuntukkan RM500 juta dalam Belanjawan 2020 untuk mendigitalkan operasi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan memberdayakan komuniti usahawan yang melanggani perkhidmatan seperti sistem tempat jualan elektronik (e-POS), penyelesaian perancangan penyumberan perusahaan (ERP) dan sistem pembayaran gaji elektronik.

Beliau berkata, pada 2018, PKS mewakili 98.5 peratus daripada jumlah keseluruhan aktiviti keusahawanan di negara ini.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin berkata, PKS dan perniagaan mikro hanya menyumbang sebanyak 38.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Sumbangan ini masih rendah jika dibandingkan dengan Indonesia (60.6 peratus), Jepun (54.5 peratus) dan Thailand (42.3 peratus), kata beliau dan menurutnya, berdasarkan data tersebut masih ada ruang yang luas untuk menjana perkembangan sektor keusahawanan.

“Justeru itu, kita harus menggunakan kesempatan ini untuk menyuntik dinamisme baru yang mampu memberi lonjakan kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Pada majlis itu, Mohamed Azmin turut menyaksikan pertukaran dokumen kerjasama antara syarikat usahawan PUNB, Palace Butcher Resources Sdn Bhd selaku pemilik jenama Me’nate dengan syarikat dari Afrika Selatan, Yumaliah Investment.

Kerjasama ini membolehkan jenama Me’nate beroperasi di peringkat antarabangsa iaitu di Afrika Selatan dan membolehkan Palace Butcher Resources membawa masuk jenama antarabangsa ke Malaysia.

– BERNAMA


Pengarang :