AGENDANASIONAL

Ekonomi negara catat pertumbuhan 4.7 peratus separuh tahun pertama

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Ekonomi negara kekal kukuh apabila mencatatkan pertumbuhan 4.7 peratus bagi separuh tahun pertama 2019.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pelaburan langsung asing turut meningkat 97.2 peratus kepada RM49.5 bilion bagi tempoh sama.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan tetap mengambil langkah berhati-hati berikutan keadaan ekonomi tidak menentu khasnya kesan perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China.

“Di ASEAN ekonomi baru muncul yang bergantung kepada pertumbuhan eksport perkilangan menunjukkan kenaikan 13 peratus pada tahun 2018, penyumbang tertinggi kepada jumlah eksport kasar pada paras 81.6 peratus.

“Namun ketika berlaku pergolakan ekonomi di peringkat global, ASEAN dan juga negara Asia lain dijangka mampu terus menghadapi pergolakan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Perniagaan ASEAN Selangor sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor Ketiga di Pusat Perdagangan Antarabangsa & Pameran Antarabangsa Malaysia, di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, ekonomi baru berasaskan eksport perkilangan muncul di Asia Tenggara bagi mengimbangi kesan ketidaktentuan ekonomi akibat pertembungan dua kuasa besar itu.

Menyentuh langkah kerajaan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara kekal positif, beliau berkata, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi akan mengadaptasi formula Rancangan Malaysia ke-12 yang bermula pada 2021 hingga 2025 untuk memacu pertumbuhan ekonomi mampan dan menyeluruh.


Pengarang :