Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Empat pelabur berpotensi disenarai pendek rakan sinergi MAS

SHAH ALAM, 22 OKT: Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Malaysian Aviation Group Berhad (MAGB) sudah menyenarai pendek empat pelabur strategik berpotensi untuk menjadi rakan sinergi Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) sebagai usaha memastikan kelangsungan operasi bagi jangka panjang.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Kerajaan perlu menilai semula model perniagaan MAS secara lebih menyeluruh supaya dapat keluar daripada kemelut yang sedang dihadapi serta bangkit sebagai sebuah syarikat penerbangan berprestasi tinggi dan mampan.

“Khazanah dan MAGB telah mempelawa 20 pelabur yang berpotensi untuk menjadi rakan strategik MAS. Melalui proses ini, Khazanah dan MAGB menyenarai pendekkan empat pelabur strategik untuk dinilai dengan ketat dan teliti.

“Penekanan diberi kepada cadangan yang mengambil kira kehematan kewangan dan sinergi kepada operasi Malaysia Airlines.

“Bagaimanapun, di bawah Non Disclosure Agreement (perjanjian menghalang pendedahan), kerajaan tidak dapat memberikan dan mendedahkan maklumat yang lebih terperinci mengenai pelabur strategik yang sedang melalui proses ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan yang dikemukakan Datuk Alexander Nanta Linggi (PBB-Kapit) di Dewan Rakyat, hari ini.

Berdasarkan prestasi kewangan dalam tempoh tiga tahun pertama Pelan Pemulihan MAS (PPM) dilaksanakan, MAGB mencatatkan kerugian selepas cukai sebanyak RM1.2 bilion pada 2015, RM799 juta (2016) dan RM1.2 bilion (2017).

“Keadaan ini memberi kesan langsung kepada Khazanah, selaku pemegang saham tunggal Malaysia Airlines.

“Bagi tahun kewangan 2018, daripada jumlah RM7.3 bilion rosot nilai yang terpaksa Khazanah lakukan ke atas aset-aset yang dilaburkan dan tidak memberikan pulangan yang baik, RM3.1 bilion telah diperuntukkan untuk MAGB.

“Kerajaan sedar akan kepentingan serta sumbangan Malaysia Airlines dan kakitangannya kepada negara. Ini termasuklah penjenamaan Malaysia yang telah memberi manfaat ekonomi menerusi perdagangan, pelancongan serta penyediaan pekerjaan dan peluang perniagaan kepada rakyat,” katanya.


Pengarang :