AGENDANASIONAL

Enam borang pencalonan PRK Tanjung Piai sudah dibeli

PONTIAN, 24 OKT: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah menjual enam borang pencalonan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai setakat ini.

Timbalan Pengarah SPR negeri, Mohammad Zaidad Abdul Samat berkata, enam borang itu dijual dari 8 Oktober hingga semalam.

Beliau berkata, mereka yang membeli borang-borang itu ialah daripada parti-parti utama, namun belum ada yang membayar deposit untuk pilihan raya atau pun bahan kempen.

“Pembelian borang pencalonan ini masih boleh dibuat sehinggalah pada hari pencalonan pada 2 November pukul 10 pagi,” kata beliau kepada pemberita selepas meninjau sesi taklimat petugas PRK di Dewan Jubli Intan, di sini, hari ini.

Katanya, mana-mana pihak yang ingin bertanding juga diberi ruang untuk membuat semakan mengenai kelayakan mereka bermula 28 hingga 30 Oktober ini bagi memastikan mereka menepati syarat menjadi seorang calon.

Katanya, semakan itu dibuat dengan hadir ke pejabat pegawai pengurus pilihan raya berdekatan.

Mengenai persiapan SPR dalam menghadapi musim banjir terutama dari segi penyediaan bot untuk mengangkut peti-peti undi, Mohammad Zaidad berkata, pihaknya tidak risau tentang perkara itu kerana pengawai pengurus bagi PRK Tanjung Piai ialah pegawai daerah Pontian yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah.

“Jadi kami tidak risau kerana persediaan itu sememangnya berada dalam kawalan beliau,” katanya.

PRK Tanjung Piai akan diadakan pada 16 November ini berikutan kematian penyandang kerusi itu, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 September lepas akibat komplikasi jantung.

Sementara itu, merujuk kepada taklimat hari ini, Mohammad Zaidad berkata, ia adalah taklimat ketiga diadakan bagi memberi penerangan mengenai tanggungawab para petugas, antaranya mengenai pengurusan kehadiran jurugambar dengan memakai pas khas pilihan raya serta untuk memastikan mereka berada dalam tempat dibenarkan.

“Hari ini adalah taklimat untuk 27 Penyelia Pusat Mengundi (PPM) dan juga 278 pembantu-pembantunya yang dalam kalangan Pemandu Arah Pusat Mengundi (PAPM) dan Kerani Pengundian Daftar Pemilih (KPDP).

“Ia adalah kesinambungan siri pertama dan kedua yang telah diadakan sebelum ini. Kita pecahkan kepada kumpulan-kumpulan kecil kerana hendak pastikan taklimat diberi secara optimum,” katanya.

Sementara itu, beliau menasihatkan orang ramai agar menyemak maklumat lokaliti, tempat daerah mengundi, lokasi Dewan Undangan Negeri dan pusat mengundi/saluran secara dalam talian menerusi aplikasi MySPR Daftar.

– BERNAMA


Pengarang :