AGENDANASIONAL

Enam warga Kemboja ditahan ceroboh hutan simpan

SHAH ALAM, 22 OKT: Seramai enam orang warganegara Kemboja berjaya ditangkap di kawasan Hutan Simpan Tembat, Hulu Terengganu, Terengganu kerana melakukan jenayah yang melibatkan hidupan liar serta menceroboh ke kawasan hutan Simpan.

Hasil serbuan dalam Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) Siri 3/2019 Zon Timur pada 19 Oktober lalu menemui satu unit disyaki cengkerang kura-kura, rantai disyaki taring babi hutan dan tanduk hidupan liar, gading gajah serta empat unit disyaki bulu kuang raya.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, OBK yang telah dilancarkan pada 3 September 2019 bertujuan membanteras segala bentuk aktiviti pemburuan haram, penyeludupan hidupan liar dan lain-lain pelanggaran di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan lain-lain akta yang berkaitan.

“KATS ingin memberi amaran kepada mana-mana individu yang menjalankan aktiviti pemburuan haram hidupan liar dan aktiviti pencerobohan agar menghentikan aktiviti terbabit atau bakal berhadapan dengan tindakan undang-undang yang tegas.

“Diharapkan orang ramai akan terus memberikan sokongan dan bantuan dengan menjadi mata dan telinga Jabatan PERHILITAN dan polis bagi membantu program OBK ini melalui penyaluran maklumat dalam usaha melindungi khazanah negara supaya tidak diancam kepupusan,” katanya dalam kenyataan.

Turut dirampas dalam adalah beberapa peralatan mengambil gaharu seperti kapak, parang bersarung, penggali, alat pencuci gaharu dan bungkusan berisi kayu gaharu.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 68 dan Seksyen 60 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan boleh dikenakan hukuman denda atau penjara atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

Bagi kes pemilikan kayu Gaharu, kes ini akan disiasat di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan1993).


Pengarang :