Permandangan dari bandar Tallinn di Estonia, sebuah negara kecil yang terletak di kawasan Baltik, utara Eropah yang dikatakan memiliki masyarakat digital termaju di dunia. Foto BERNAMA
PENDAPATRENCANA

Estonia miliki masyarakat digital termaju di dunia

OLEH SOON LI WEI

Tallinn (ESTONIA), 1 OKT: Di mana letaknya Estonia? Adakah ia berada di Timur Tengah? tanya seorang kawan, ketika saya memberitahu beberapa bulan lalu yang saya akan melawat negara Baltik itu.

Malah, ramai dalam kalangan sahabat saya tidak tahu tentang kedudukan negara Estonia dan mengajukan soalan yang sama.

Hakikatnya, masih ramai rakyat Malaysia tidak mengenali Estonia, iaitu sebuah negara kecil yang terletak di kawasan Baltik, utara Eropah.

Saya mendapat peluang keemasan untuk mengenali lebih mendalam negara yang menakjubkan ini setelah terpilih mengikuti program sekolah musim panas di sana. Program itu dianjurkan Baltic Film and Media School, Universiti Tallinn.

Program berkonsepkan bercerita rentas media dan penglibatan khalayak ini bermula dari 3 hingga 11 Ogos lepas. Ia sarat dengan aktiviti ceramah, mesyuarat dan lawatan termasuk ke festival terbesar Estonia iaitu Opinion Festival yang diadakan di Paide. Lebih menarik, saya juga berpeluang memanjakan diri di spa Estonia, di bandar Tartu.

Seramai sembilan wartawan termasuk dari Zambia, Chile, Mongolia, Armenia dan Lubnan mengikuti program ini serta berpeluang mengenali pelbagai aspek dan ciri-ciri menarik mengenai Estonia.

Kami diberi peluang untuk meneroka beberapa tempat di negara ini – bermula dari Tallinn, ibu kota zaman pertengahan sehingga ke bandar universiti di Tartu, bandar yang dianggap sebagai pusat intelek negara.

Bilik pameran e-Estonia

Restoran Olde Hansa yang terletak di tengah-tengah bandar lama Tallinn. Banyak perkara menarik tentang restoran ini termasuk pelayan yang memakai pakaian Zaman Pertengahan.

Sebelum berlepas, saya sempat membuat carian di dalam internet dan hasilnya agak mengejutkan kerana Estonia dikatakan mempunyai masyarakat digital termaju di dunia.

Melalui inisiatif program e-masyarakat negara itu, sebanyak 99 peratus perkhidmatan awam di Estonia dikendalikan secara dalam talian!

Ketika berjalan menelusuri kota lama di Old Town Tallinn, saya umpama berada dalam suasana kisah dongeng dalam buku kanak-kanak. Bandar ini merupakan sebuah kota lama yang tersenarai dalam Tapak Warisan Dunia UNESCO sejak 1997. Ternyata, agak sukar bagi saya mempercayai bahawa negara kecil ini, adalah sebuah pusat sistem tadbir urus elektronik yang termaju di dunia.

Dengan populasi hanya seramai 1.3 juta orang, pembangunan dan kemajuan di Estonia agak memberangsangkan di peringkat global kerana ia berjaya menarik perhatian kalangan pemimpin dunia, ahli akademik dan pemodal usaha niaga datang melabur melalui inisiatif berteknologi tinggi.

Malahan, kemudahan Skype, iaitu aplikasi telekomunikasi yang kini dimiliki oleh Microsoft, sebenarnya dicipta dan dibangunkan di ibu negara, Tallinn. Sewaktu pertengahan tahun 2000, aplikasi Skype yang boleh diakses secara percuma ini, adalah perintis komunikasi serangkaian dan semakin menjadi pilihan, meskipun ada ketikanya, talian internet tidak lancar atau lembab.

Acara Opinion Culture atau Arvamusfestival kali ke-7 yang diadakan di bandar Paide yang terletak kira-kira 100 kilometer dari Tallinn.

Pada hari ketiga program sekolah musim panas itu, kami melawat bilik pameran e-Estonia, sebuah pusat taklimat dan hab inovasi eksekutif yang terletak di Tallinn, pusat ini direka khusus bersandarkan pengalaman Estonia sebagai sebuah negara pelaksana sistem elektronik.

Jurucakap bilik pameran elektronik-Estonia Anett Numa mengendalikan taklimat mengenai fungsi e-,masyarakat dan e-Residensi, iaitu identiti serta status digital yang diberikan kerajaan bagi membolehkan akses kepada persekitaran perniagaan digital Estonia yang telus.

Akses perkhidmatan

Program ini membenarkan rakyat asing memperoleh akses perkhidmatan di Estonia seperti penubuhan syarikat, perbankan, pemprosesan pembayaran dan aspek percukaian.

“Apabila Estonia memperoleh kemerdekaan dari Kesatuan Soviet pada tahun 1991, negara ini memulakan siri pembaharuan pantas untuk memodenkan ekonomi. Sejak awal lagi, ia mengambil pendekatan digital, sehinggakan pusat tadbir urus elektronik dilaksanakan lima tahun selepas itu.

“Kami memulakan e-Cukai pada tahun 2000. Setiap rakyat membayar cukai secara dalam talian dan kami dapat melakukannya dalam tempoh kurang daripada lima minit. Kami juga memulakan sistem e-Undi dan e-Kesihatan pada tahun 2005 dan 2008,” kata Numa.

Beliau berkata, pada tahun 2002, Estonia melancarkan sistem pengenalan (ID) berteknologi tinggi iaitu kad fizikal diperkenalkan yang didatangi dengan tandatangan digital. Rakyat Estonia memanfaatkan sistem berkenaan untuk membayar cukai, mengundi, melakukan transaksi perbankan dalam talian, mendaftar kelahiran dan kematian serta mengakses rekod penjagaan kesihatan mereka.

“Satu-satunya perkhidmatan yang tidak boleh anda akses dalam talian di Estonia ialah perkahwinan, perceraian dan transaksi harta benda,” katanya.

Numa menambah, setakat ini, kira-kira 98 peratus warga Estonia memiliki kad ID tersendiri, manakala 46.7 peratus daripadanya menggunakan sistem mengundi secara elektronik.

“Walaupun kami mewujudkan pusat pengundian di setiap daerah, kami tetap menggalakkan orang ramai mengundi secara dalam talian kerana ia lebih cepat dan dapat dilakukan di mana-mana saja.

“Melalui sistem e-Kesihatan, pesakit mempunyai akses kepada rekod kesihatan peribadi yang mengandungi maklumat perubatan, keputusan ujian, pembedahan, preskripsi digital dan sinaran-X yang direkodkan doktor mereka,” katanya.

Latihan komputer

Pada peringkat awal pengenalan perkhidmatan secara elektronik ini, hanya 29 peratus rakyat Estonia menggunakan internet. Namun atas usaha kerajaan untuk menawarkan latihan komputer secara percuma kepada penduduk warga emas, angka itu meningkat kepada 91 peratus pada 2016.

“Pada tahun 2001, kami merupakan negara pertama mengisytiharkan akses internet sebagai hak asasi manusia.

“Pada tahun 2014, e-Residensi diperkenalkan yang membolehkan sesiapa sahaja yang berada di mana-mana pelosok dunia, memohon untuk menjadi rakyat Estonia secara elektronik dan memulakan perniagaan dengan memperoleh akses penuh terhadap e-Perkhidmatan awam. Semuanya dikendalikan secara dalam talian,” katanya.

Numa berkata, semua data akan disimpan dalam suatu siri rangkaian dikenali sebagai sistem ‘X-Road’.

“Walaupun ia membolehkan akses sektor kerajaan dan swasta mudah ke data yang dikumpulkan oleh jabatan lain, ia juga membolehkan warganegara Estonia melihat siapa yang telah mengakses mana-mana data. Usaha ini dapat mengesan sebarang tingkah laku yang mencurigakan,” katanya.

Keterangan beliau itu membuatkan kami berasa kagum kerana kami tidak menyangka negara sekecil ini mempunyai sistem tadbir urus elektronik yang maju dan boleh dicontohi oleh negara-negara besar lain, termasuk Malaysia.

Justeru, tidak hairanlah, sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo pernah menyebut dan menyarankan agar Malaysia seharusnya mencontohi negara Eropah utara kerana 99 peratus perkhidmatan kerajaan mereka dilaksanakan secara digital.

Keselamatan siber di Estonia

Melihat kepada hampir keseluruhan perkhidmatan negara ini diuruskan secara dalam talian, pastinya timbul persoalan mengenai aspek keselamatan sibernya!.

Kami berpeluang mengikuti sesi ringkas dengan mantan Menteri Keusahawanan dan Teknologi Maklumat Estonia, Rene Tammist yang merungkai persoalan mengenai perkara itu.

Tammist berkata, “’X-Road”, merupakan data sistem simpanan bagi e-Estonia, yang kini turut digunakan oleh Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat dan seluruh Kesatuan Eropah (EU).

“Pada tahun 2007, negara ini mengalami serangan siber besar-besaran yang melumpuhkan sebahagian besar infrastruktur digitalnya. Rentetan itu, NATO dan kerajaan melakukan latihan pertahanan siber berskala besar dan mewujudkan data kedutaan yang menyimpan salinan datanya di Luxembourg,” jelas Tammist.

Menurut Tammist, peristiwa serangan siber itu menjadi pengajaran kepada mereka bahawa meskipun sebagai masyarakat digital, setiap warganegara perlu mengamalkan sikap ‘bersih siber’.

“Kami akan sentiasa mengajar dan mendidik orang ramai, mengingatkan mereka agar tidak sewenang-wenangnya mengklik perisian yang mencurigakan atau memuat turun aplikasi yang mungkin dikaitkan dengan aktiviti penggodaman atau memberi mereka akses kepada maklumat kerajaan,” katanya.

Opinion Festival

Pada hari keenam program, kami menaiki bas ke bandar Paide yang terletak kira-kira 100 kilometer dari Tallinn untuk menyertai acara Opinion Festival atau Arvamusfestival kali ke-7.

Paide adalah sebuah bandar terletak di tengah-tengah Estonia mempunyai kependudukan seramai 8,200 orang. Setiap tahun, bandar ini menerima sekitar 10,000 pelawat yang mengambil bahagian dalam lebih 160 perbincangan yang dikendalikan dalam bahasa Estonia dan bahasa Inggeris. Festival tahun ini berlangsung dari 9 hingga 10 Ogos.

Jurucakap festival, Maiko Keskula berkata, orang ramai berkunjung ke Opinion Festival untuk mengikuti perbincangan lebih 24 topik berbeza, termasuk politik, alam sekitar, hak asasi manusia dan perniagaan.

“Festival ini bertujuan mewujudkan pemahaman mengenai peraturan dan mengadakan perbincangan yang memberi manfaat sekaligus menjadikan Paide tempat pertemuan empat mata dengan pelbagai individu menarik terutamanya pemimpin politik,” katanya menambah penyertaan ke festival itu adalah percuma.

Pendekatan media antarabangsa

Sejak lima tahun lalu, Kementerian Hal Ehwal Luar Estonia dan Baltic Film School and Media School, Tallinn University, bekerjasama menjayakan program sekolah musim panas ini, sebagai usaha membawa wartawan antarabangsa untuk mengenali Estonia.

Pengarah pusat pengajian itu, Katrin Saks berkata, program itu bukan sahaja bertujuan untuk wartawan yang berminat mengetahui amalan dan perkembangan media di Estonia serta EU, malah mempelajari pelbagai aplikasi media digital.

“Media adalah kumpulan istimewa yang dapat membantu mempromosikan negara tertentu dan integrasi diplomatik serantau, serta memperkenalkan keistimewaan negara kami.

“Malah, kami menyusun program agar peserta dapat mengambil bahagian dan mengenali kehidupan kepelbagaian budaya kami serta menikmati pemandangan indah.

“Sejak tahun 2014, program ini berjaya membawa 160 wartawan akhbar, wartawan penyiaran dan wakil media baharu dari 32 negara ke Estonia dan kami menerima banyak maklum balas yang baik,” katanya kepada Bernama.

Saya berasa seronok sepanjang tempoh lawatan seminggu ke Estonia. Selain dapat menjalinkan hubungan persahabatan dengan rakan-rakan media dari pelbagai negara, saya juga dapat mengenali ramai warga tempatan, menikmati makanan tradisi Estonia dan belajar mengenai budaya mereka.

Sesungguhnya, lawatan pertama saya ke program sekolah musim panas di negara Eropah -Estonia ini, semestinya suatu pengalaman terindah yang pastinya tidak akan dilupai.

– BERNAMA


Pengarang :