Seorang wanita 65 tahun meninggal dunia akibat serangan jantung selepas dikejar anjing liar di Kampung Baru Dengkil pada 29 Sept 2020.
EXCOSELANGOR

EXCO: Tukar peralatan, beri latihan khusus operasi tangkap haiwan

SHAH ALAM, 8 OKT: Kerajaan Negeri sedang merangka pendekatan baharu bagi meminimumkan kecederaan haiwan dan keselamatan anggota penguatkuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ketika operasi tangkapan haiwan terbiar dilakukan.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baharu, Ng Sze Han berkata, pendekatan terbaharu itu termasuk menukar peralatan sedia ada dan latihan khusus kepada anggota.

“Kerajaan Negeri sudah mengadakan perbincangan dengan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) untuk mengkaji pendekatan baharu yang dapat meminimumkan kecederaan haiwan dan memastikan keselamatan pekerja.

“Perbincangan ini membabitkan isu anjing dan kucing terbiar. Kita akan melancarkan inisiatif itu nanti dalam tempoh terdekat,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Pada masa sama, Sze Han berkata, Kerajaan Negeri juga dalam proses untuk menambahbaik keadaan pusat penjagaan dan adopsi haiwan di setiap PBT.

Mengulas insiden video proses penangkapan anjing terbiar yang tular dalam media sosial baru-baru ini, Sze Han menegaskan semua PBT di Selangor mengikut garis panduan dikeluarkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Pada 4 Oktober lalu, Ahli Dewan Negeri Kinrara itu juga memohon maaf bagi pihak Kerajaan Negeri terhadap insiden yang membabitkan petugas Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

“Saya memahami situasi yang dihadapi oleh PBT dan para petugas terhadap aduan anjing dan kucing terbiar yang semakin meningkat.

“Namun, prosedur penangkapan perlu diikut bagi memastikan haiwan tidak cedera disamping menjamin keselamatan petugas penangkapan,” katanya.

MPSJ dalam kenyataan sebelum ini berkata, kaedah penangkapan turut menggunakan tatacara operasi piawaian (SOP) Penangkapan dan Pelupusan Anjing Terbiar di Pihak Berkuasa Tempatan (Pekeliling Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Bilangan 5 Tahun 2014.)

Di fahamkan, ketika operasi itu, anggota MPSJ didatangi seorang lelaki dan wanita yang menghalang tindakan menangkap anjing terbabit dan turut melakukan provokasi terhadap kakitangan bertugas.

Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin semalam menzahirkan rasa kesal berhubung insiden terbabit.

Tengku Permaisuri Selangor, yang juga Penaung Diraja kempen Stray Free Selangor (SFS) turut kecewa dan sedih kerana kejadian kejam seumpamanya itu masih berlaku dalam masyarakat meskipun banyak kempen kesedaran dilaksanakan membabitkan haiwan terbiar.


Pengarang :