AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Farmasi rakan kempen bendung buang bayi KPWKM

KUALA LUMPUR, 4 OKT: Dalam usaha meningkatkan kempen kesedaran bagi membendung pembuangan bayi dalam kalangan masyarakat, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menjalin kerjasama dengan rangkaian farmasi, Big Pharmacy untuk menyebar luas Talian Kasih 15999.

Timbalan Menteri berkenaan, Hannah Yeoh berkata, inisiatif bersama Big Pharmacy, yang mempunyai lebih 40 cawangan di seluruh negara, diharap dapat menjayakan matlamat kempen serta membantu golongan sasar iaitu kaum wanita dan remaja.

“Ramai orang pergi ke farmasi, beli barang kelengkapan dandanan diri. Di farmasi juga ada jual kit ujian kehamilan yang mana kalau berlaku kehamilan, mereka (kaum wanita dan remaja) akan pergi membelinya,” katanya dan menambah bahawa farmasi adalah antara tempat tumpuan yang sering dikunjungi golongan remaja dan wanita.

Ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Gynae-Oncology Kebangsaan (NGOC) 2019 hari ini, beliau berkata, kaedah sama digunakan KPWKM dengan menampal poster kesedaran termasuk nombor Talian Kasih 15999, seperti yang dilaksanakan di 22 kawasan Rehat dan Rawat Plus Malaysia Berhad sebelum ini.

Yeoh berkata, kementerian akan terus bekerjasama dengan sektor korporat agar masalah pembuangan bayi berjaya dikurangkan.

Talian Kasih adalah satu perkhidmatan aduan krisis masyarakat yang menyediakan bantuan bagi menangani kejadian kecemasan berkaitan kebajikan dan kemasyarakatan.

Dalam perkembangan lain, Yeoh berharap Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat minggu hadapan lebih mesra wanita dan keluarga.

“Sudah tentu kami akan mahukan (belanjawan) yang lebih mesra wanita, keluarga. Dan juga lebih banyak bajet berkaitan kesihatan mamogram.

“Kami berharap akan ada sesuatu yang menarik buat orang kurang upaya kerana mereka memerlukan sokongan dan jagaan daripada kerajaan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :