AGENDASUKANKINI

FAS harap akses program pembangunan bola sepak lebih luas

SHAH ALAM, 16 OKT: Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) berharap pengumuman peruntukan berjumlah RM45 juta untuk pembangunan bola sepak yang diumumkan dalam Belanjawan 2020 baru-baru ini memberi akses lebih besar kepada anak muda untuk menyertai program disediakan.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, bantuan secukupnya juga wajar diberikan terutama sekali membabitkan anak muda dalam kelompok isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

“Saya rasa ini satu perkembangan yang baik untuk industri bola sepak tanah air kerana kerajaan menitik beratkan kepada pembangunan bola sepak akar umbi.

“Diharapkan dengan pertambahan dana ini, lebih ramai anak muda dari kumpulan B40 seluruh pelosok negara mendapat akses kepada program pembangunan bola sepak kebangsaan dan bantuan secukupnya untuk mereka berjaya di dalam bola sepak,” katanya ketika dihubungi SelangorKini hari ini.

Johan Kamal berkata, peruntukan yang disediakan kerajaan merupakan satu jumlah yang besar jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya.

Beliau juga berharap peruntukan itu digunakan sebaik mungkin dengan mengelakkan pembaziran bagi mendapatkan impak yang maksimum.

Pada pembentangan Belanjawan 2020 yang dibentangkan Jumaat lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan kerajaan memperuntukan sejumlah RM45 juta untuk membiayai program pembangunan bola sepak negara.


Pengarang :