Kontinjen Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi meraikan kejayaan selaku juara keseluruhan pada majlis perasmian penutup Sukan Antara Fakulti (SAF) 2019 di Stadium UiTM Shah Alam pada 25 Oktober 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

FSR juara keseluruhan SAF UiTM

OLEH ZAREEF MUZAMMIL & ALIFF HAIKAL

SHAH ALAM, 26 OKT: Sukan Antara Fakulti (SAF) 2019 peringkat Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam yang melabuhkan tirai malam tadi menyaksikan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR) muncul juara keseluruhan dengan meraih pungutan 458 mata.

Gelaran itu dirangkul selepas kontinjen terbabit mengungguli beberapa acara utama seperti bola sepak (lelaki dan wanita), bola sepak pantai wanita, bola baling wanita, bola tampar (lelaki dan wanita), bola keranjang wanita termasuk hoki (lelaki dan wanita) serta frisbee.

Kontinjen berkenaan menewaskan 14 fakulti lain yang turut mengambil bahagian dengan kutipan pingat 37 emas, 10 perak dan dua gangsa membabitkan 19 acara berpasukan dan sembilan acara individu.

Selaku juara, FSR membawa pulang piala pusingan dan wang tunai berjumlah RM2,000 disampaikan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Dr Azizan Abdullah di Stadium UiTM, di sini.

Sementara itu, Fakulti Sains Komputer & Matematik (FSKM) sekadar berpuas hati di tempat kedua dengan 13 emas, tujuh perak dan lima gangsa (236 mata), manakala Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) di tempat ketiga dengan pencapaian empat emas, lima perak serta enam gangsa (206 mata).

Perarakan kontinjen Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi pada majlis perasmian penutup Sukan Antara Fakulti (SAF) 2019 di Stadium UiTM Shah Alam pada 25 Oktober 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Dr Azizan ketika berucap merasmikan majlis penutup SAF berkata, penganjuran sukan tahunan itu bertujuan menggalakkan penuntut UiTM untuk mengambil bahagian dalam setiap kegiatan sukan, selain membentuk budaya masyarakat kampus yang berkualiti, cergas dan sihat sepanjang masa.

Katanya, sukan menjadi salah satu medan penting dalam membentuk dan menggarap semua nilai positif memandangkan kecemerlangan mahasiswa bukan diukur daripada aspek akademik semata-mata.

“Salah satu matlamat pendidikan negara adalah untuk melahirkan insan seimbang daripada segenap segi misalnya mempunyai fizikal yang sihat dan cergas serta sikap kerjasama positif dengan masyarakat sekeliling.

“Melalui SAF, mahasiswa UiTM dapat memupuk nilai dan sifat murni seperti semangat daya saing yang kuat, kebolehan patuh kepada undang-undang (permainan), rasa muhibbah, kesefahaman dan toleransi tinggi,” katanya.

Turut hadir, Pengarah Pusat Sukan UiTM, Mustaza Ahmad.

Pada masa sama, Dr Azizan berkata, beliau bangga dengan penyertaan kesemua fakulti menerusi aktiviti SAF pada edisi kali ini, selain menaruh harapan tinggi supaya institusi pengajian tinggi (IPT) terbabit dapat melahirkan lebih ramai atlet berpotensi untuk diserapkan ke peringkat seterusnya.

Katanya, bakat baharu mahasiswa mampu diketengahkan bagi mewakili UiTM ke kejohanan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) dan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT).

“Syabas dan tahniah diucapkan kepada pasukan yang berjaya menjadi juara SAF kali ini, namun kepada pasukan yang kurang bernasib baik diharapkan supaya jangan berputus asa, sebaliknya terus tingkatkan usaha serta strategi untuk kejayaan pada masa akan datang,” katanya.

Difahamkan, SAF di bawah kelolaan Pusat Sukan UiTM dengan kerjasama FSKM berlangsung selama hampir sebulan bermula 4 Oktober lalu dengan pembabitan kira-kira 6,000 mahasiswa.


Pengarang :