SELANGOR

Gabung FAS, PKNS FC untuk transformasi bola sepak Selangor

SHAH ALAM, 8 OKT: Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) hari ini menjelaskan cadangan penggabungan persatuan itu dengan PKNS FC, adalah suatu usaha untuk mentransformasi industri bola sepak di Selangor, bagi mencapai kejayaan pada masa akan datang.

Jawatankuasa Eksekutif FAS penggal 2017-2021 dalam satu kenyataan, menepis khabar angin yang mengatakan cadangan penggabungan itu adalah semata-mata untuk mendapatkan dana lebih besar.

“Niat untuk menyatukan kelab bola sepak di Selangor terutamanya FAS dan PKNS FC telah lama wujud, sejak beberapa menteri besar sebelum ini, namun terdapat beberapa kekangan menyebabkan ia gagal direalisasikan sehingga kini.

“Bagaimanapun, sejak beberapa bulan lepas Presiden FAS Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari telah berbincang secara mendalam, untuk mencari penyelesaian dalam isu ini malah menteri besar juga pernah menyatakan hasrat jelas kepada media untuk menjadikan PKNS FC sebagai ‘pasukan simpanan’,” kata kenyataan itu.

Jawatankuasa itu memaklumkan FAS percaya, penggabungan kedua-dua pasukan itu kelak akan memberi peluang kepada persatuan berkenaan untuk terus mencapai kejayaan di peringkat pasukan utama.

Malah, ia juga dilihat dapat membina asas kukuh dalam pembangunan bakat muda sehingga mampu menjadi jaguh dalam arena bola sepak dunia, kata jawatankuasa berkenaan.

Jawatankuasa itu turut menjelaskan bahawa walaupun cadangan menggabungkan kedua-dua pasukan itu memerlukan beberapa ‘pengorbanan’, ia dilihat sebagai langkah terbaik yang memberi manfaat kepada masa depan industri bola sepak Selangor.

Menurut kenyataan itu, antara manfaat penggabungan tersebut pastinya dari segi kewangan, apabila ia dapat menjimatkan kos kerajaan negeri yang tidak perlu memperuntukkan perbelanjaan berasingan, kepada FAS, PKNS FC serta Selangor United.

“Dianggarkan sebanyak RM44 juta dibelanjakan FAS, PKNS FC dan Selangor United untuk musim 2019 dan ia lebih tinggi daripada mana-mana pasukan dalam Liga Super, namun prestasi tidak memberangsangkan.

“Daripada membahagikan dana kepada tiga pasukan, langkah terbaik serta menjimatkan dilihat boleh dilakukan apabila kerajaan Selangor menggabungkannya dan memberikan dana tersebut kepada satu pasukan sahaja.

“Contohnya, jika RM16 juta dibelanjakan namun separuh daripadanya adalah dana kerajaan negeri (selebihnya daripada penajaan korporat), kerajaan Selangor dapat menjimatkan peruntukan sebanyak RM8 juta dan jumlah itu boleh disalurkan untuk pembiayaan pelbagai program lain bagi dinikmati jutaan rakyat negeri ini,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan FAS perlu berhati-hati dalam menguruskan kewangan bagi memastikan perbelanjaan dibuat mendatangkan hasil terbaik, malah kepedulian presiden FAS dan menteri besar mengenai cadangan itu bakal menghasilkan perubahan besar dalam sejarah bola sepak Selangor.

-BERNAMA


Pengarang :