Amirudin Shari melawat ruangan pameran ketika Konvensyen Transformasi Pengurusan Hal Ehwal JAIS di Dewan Muzakarah, Masjid Negeri pada 1 Oktober 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Gabungan teknologi majukan industri halal

SHAH ALAM, 1 OKT: Gabungan teknologi dalam subsektor Internet of Thing (IoT), rantaian blok (blockchain), nanoteknologi, analisis ‘Big Data’ dan teknologi mudah alih mampu mewujudkan kemungkinan baharu bagi industri halal.

Justeru, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari mahu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) meneroka revolusi Industri Keempat (IR 4.0) yang berpotensi memberi banyak manfaat kepada perkembangan industri halal.

“Ini bidang besar tetapi pada masa sama ia memberi impak daripada sudut ekonomi. Negara China, Taiwan dan Eropah sudah terokai industri halal pasaran luar dalam kalangan negara islam.

“Bukan hanya sudut pandangan dolar dan sen, tetapi dengan motivasi keuntungan itu mereka bersungguh-sungguh menyediakan agensi halal untuk mewujudkan kepercayaan pengunjung umat Islam.

“Tetapi bagi umat Islam, dua perkara perlu diutamakan bukan hanya keuntungan, tetapi ia merujuk kepada kebertanggungjawaban kita sebagai umat Islam supaya generasi kita mewarisi deoxyribonucleic acid (DNA) hasil produk halal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucaptamanya bertajuk Hala Tuju dan Cabaran Institusi Islam dalam Revolusi 4.0 di Konvensyen Tranformasi Pengurusan Hal Ehwal Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah, Masjid Negeri, di sini.

Hadir sama Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad.

Pada masa sama, Amirudin berkata, sejak 2012 Bahagian Pengurusan Halal (BPH) JAIS menggunapakai sistem MYeHALAL dalam pengurusan pensijilan halal.

Malah, katanya, JAIS sedang dalam proses menguji sistem MyHALAL-INGREDIENT yang dibangunkan bagi memperkasakan pemantauan ke atas pemegang Sijil Pengesahan Halal di Selangor.

“Sistem ini turut membantu Jawatankuasa Halal Dalaman Syarikat pemegang Sijil Pengesahan Halal (SPH) untuk menyimpan rekod dan data ramuan bahan yang digunakan dalam pemprosesan produk halal.

“Ini secara tidak langsung membantu syarikat membina rantaian blok di samping sistem jaminan halal. Dengan itu konsep “Halal build from the inside” dapat diterapkan.

“Pelanggaran kepada undang-undang dan prosedur halal juga dapat dielakkan serta integriti halal terjamin,” katanya.


Pengarang :