AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Gadis digesa pupuk cita-cita jadi pembuat dasar negara

KUALA LUMPUR, 19 OKT: Anak gadis pada masa kini perlu menyimpan impian untuk turut sama menjadi pembuat dasar atau keputusan dalam membina negara, demikian gesaan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

“Kita tidak lagi boleh berfikir hanya untuk jadi doktor ataupun peguam, sebaliknya perlu bersama kaum lelaki membina masa depan negara ke arah yang lebih baik.

“Saya melihat apa jua bidang, apabila adanya percampuran idea antara lelaki dan perempuan ia seolah-olah melengkapi sekali gus menjayakan sesuatu perkara yang saya dapati ia amatlah positif kerana idea wanita amatlah berlainan dengan kaum lelaki,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Hari Kanak-Kanak Perempuan Sedunia 2019 anjuran Girl2Leader Malaysia dan Voice of the Children di Hotel Berjaya Times Square, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Eksekutif Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan dan Presiden Girl2Leader Malaysia, Nurainie Haziqah.

Pada program yang sama, tiga panelis yang juga aktivis masyarakat iaitu Syed Azmi, Goh Siu Lin dan Sharmila Sekaran membincangkan topik Perkahwinan Kanak-Kanak di Malaysia.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, Girl2Leader yang bertujuan melatih remaja wanita menjadi pelapis politik pada masa hadapan juga mahu mengurangkan jurang pendidikan dalam kalangan anak gadis.

“Kita tidak mahu ada anak gadis daripada golongan berpendapatan sederhana atau rendah berasa rendah diri sebaliknya melalui program sebegini ia akan melatih anak-anak ini maju ke hadapan bersaing tanpa mengira sebarang perbezaan.

“Saya juga berharap remaja-remaja perempuan ini menggunakan peluang sedia ada dan anda berani menyuarakan pendapat serta berada di depan untuk memperjuangkan hasrat serta cita-cita anda,” katanya.


Pengarang :