Lim Guan Eng. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Ganjaran sehingga RM30,000 kepada penjawat awam dedah salah laku

PUTRAJAYA, 4 OKT: Anggota pentadbiran kerajaan persekutuan akan menerima Anugerah Integriti dan Personaliti (IPA) beserta ganjaran sehingga RM30,000 jika mendedahkan salah laku dan penyelewengan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata, sebarang aduan salah laku dan penyelewengan akan dinilai dan disemak oleh jawatankuasa peringkat tertinggi yang akan dipengerusikan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir.

“Tidak hanya kepada warga Kementerian Kewangan (MoF), ia terbuka kepada semua anggota pentadbiran yang berani melaporkan sebarang salah laku dan penyelewengan,” katanya pada perhimpunan bulanan MoF di sini hari ini.

Lim berkata ia selaras dengan komitmen kerajaan untuk meningkatkan tahap tadbir urus dan penyampaian perkhidmatan selaras dengan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) ekoran masalah kewangan diwarisi.

“Perlu ditegaskan kerajaan dibebankan dengan kemelut kewangan dan penyelewengan membabitkan RM150 bilion ataupun bernilai hampir RM5,000 bagi setiap rakyat Malaysia,” katanya.

Lim berkata MoF juga memperkenalkan Anugerah Kreativiti dan Inovasi (CIA) dan ganjaran setinggi RM30,000 kepada penjawat awam untuk menggalakkan mereka memberi kaedah baharu, kreatif dan inovasi yang boleh memberi penjimatan kewangan serta memudahkan proses kerja.

“Ini penting kerana sebelum ini sebarang penjimatan dimasukkan balik ke Kumpulan Wang Disatukan tetapi kali ini mana-mana penjimatan akan disalurkan balik kepada kementerian atau agensi terbabit supaya dapat menikmati penjimatan tersebut,” katanya.

Lim berkata kedua-dua anugerah yang diperkenalkan adalah dasar yang dilakukan MoF dalam melakukan reformasi dalam pentadbiran.

Sementara itu, Lim berkata kerajaan positif terhadap prospek perkembangan ekonomi mampan bagi separuh kedua 2019 berikutan ekonomi negara terus berkembang dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku kedua dengan kadar 4.9 peratus berbanding 4.5 peratus pada suku pertama.

Namun, kerajaan juga sedar dengan cabaran yang perlu dihadapi dan ditangani sebagai negara pengeksport berikutan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) menurunkan ramalannya untuk pertumbuhan perdagangan global untuk tahun ini dan susulan kesan perang perdagangan Amerika Syarikat dan China serta kelembapan ekonomi yang lebih meluas, katanya.

WTO baru-baru ini menurunkan ramalan pertumbuhan perdagangan global kepada 1.2 peratus daripada 2.6 peratus yang diramalkan pada bulan April.

-BERNAMA


Pengarang :