AGENDASUKANKINI

Gergasi Merah yakin mampu robek benteng JDT

SHAH ALAM, 3 OKT: Kudrat kesebelasan utama kem Selangor ditagih bagi merobek pertahanan juara Liga Super enam kali, Johor Darul Ta’zim (JDT), pada separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Larkin nanti.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor, Dr Johan Kamal Hamidon yakin Gergasi Merah mampu melaksanakan misi itu ekoran tahap kecergasan, kekuatan mental dan momentum kemenangan pemain berada pada tahap terbaik, kecuali Rufino Segovia dan Wan Zack Haikal yang masih dalam fasa pemulihan panjang.

“Setakat ini pemain berada dalam tahap baik kecuali ada beberapa kecederaan kecil tetapi tempoh rehat yang panjang dapat memberi ruang untuk pulih sebelum perlawanan menentang JDT.

“Selangor mempamerkan permainan agak baik sepanjang musim dan dalam aspek strategi serta teknikal pula mungkin tiada perubahan.

“Di kem latihan, para pemain berkobar menunggu perlawanan ini tetapi apa yang penting adalah untuk memastikan momentum, fokus dan kecergasan pemain sentiasa tinggi serta tidak terganggu,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Johan Kamal berkata, pasukan Selangor turut mengaturkan beberapa perlawanan persahabatan bagi memastikan momentum dan kecergasan pemain dapat dikekalkan sebelum menjelang perlawanan pada 19 Oktober ini ekoran tempoh rehat yang panjang.

Menyentuh kelebihan bermain di gelanggang lawan pada separuh akhir pertama, beliau menyifatkannya sebagai satu kelebihan psikologi.

Bagaimanapun katanya, pemain memerlukan sokongan padu penyokong setia gergasi merah apabila bermain di halaman sendiri, pada 26 Oktober ini.

“Saya rasa daripada segi psikologi kita ada kelebihan tetapi sokongan penyokong adalah elemen penting sama ada untuk kita melakukan kebangkitan atau mempertahankan keputusan pusingan pertama,” katanya.


Pengarang :