Gambar hiasan. ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Graduan TVET ubah kehidupan pelajar gagal SPM

KUALA BERANG, 20 OKT: Graduan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) kini bukan sekadar mampu mengubah kehidupan mereka dengan meraih pendapatan lumayan, malah berupaya membuka ruang pekerjaan kepada anak tempatan yang lain.

Kejayaan ini dibuktikan Muhammad Qamarul Auji Amran, 32, seorang lepasan TVET dari Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Timur, Jenagor di sini, yang kini memiliki sebuah syarikat fabrikasi dan perpaipan dan mampu menggaji 80 pekerja.

Pemuda berasal dari Kuala Terengganu itu mengakui beliau sendiri tidak menyangka mencapai kejayaan seperti hari ini apatah lagi menerima keputusan yang tidak memuaskan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2004.

“Berdasarkan keputusan SPM memang saya tidak layak langsung masuk universiti. Ada juga yang mengejek saya kerana keputusan SPM teruk tetapi saya tidak boleh marah kerana diri sendiri yang tidak mahu belajar.

“Sampai lah satu tahap saya rasa ingin memajukan diri sendiri. Jadi saya pun mula mencari jalan dan melakukan pencarian di internet sehinggalah saya terjumpa maklumat mengenai ABM dan mengambil keputusan menyambung pelajaran di situ untuk mendapatkan sijil dalam bidang perpaipan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Katanya, setelah tamat pengajian di peringkat sijil pada 2007 beliau bekerja di sebuah syarikat minyak dan gas dengan gaji permulaan hanya RM1,200.

Selain merasai pengalaman bekerja di Arab Saudi pada 2008, kehidupan Muhammad Qamarul Auji turut berubah apabila pendapatannya meningkat sedikit demi sedikit sehingga meraih RM12,000 sebulan sekitar tahun 2014.

“Dengan gaji sebanyak itu setiap bulan saya kumpul sehinggalah simpanan mencecah RM100,000 dan saya pun buka syarikat ini pada 2015,” katanya sambil memaklumkan syarikatnya kini mempunyai tiga cawangan iaitu di Kuala Lumpur, Labuan dan Kemaman.

Sementara itu, Muhammad Badiuzaman Ya Abu Bakar, 34, nekad menyambung pelajarannya di Wilayah Timur, Jenagor di sini dalam bidang kimpalan pada 2003 setelah melihat kehidupan selesa abangnya Allahyarham Muhammad Hasbiallah Abu Bakar yang juga graduan ABM.

“Arwah abang yang mendorong saya masuk ABM. Dia cakap masuk dalam bidang ini kalau rajin berusaha boleh dapat banyak duit. Jadi saya pun ingin menjadi sepertinya,” katanya sambil memaklumkan abangnya itu meninggal dunia pada 2014 kerana sakit.

Kini anak jati Kemaman itu bekerja sebagai jurukimpal di sebuah syarikat swasta dari Amerika Syarikat dan beliau berkhidmat di Arab Saudi dengan pendapatan bulanan sebanyak RM18,000.

Selain itu, sijil kimpalan yang dimilikinya turut membawa beliau merasai pengalaman bekerja di luar negara termasuk di Amerika Syarikat, China dan Myanmar.

– BERNAMA


Pengarang :