Lim Guan Eng pada sidang media di Parlimen pada 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Guan Eng: Belanjawan 2020 ‘luar biasa’

BERA, 14 OKT: Menteri Kewangan Lim Guan Eng menyifatkan Belanjawan 2020 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 11 Oktober lalu luar biasa kerana mendapat pujian sebagai ‘belanjawan pilihan raya’.

Katanya, seorang pemimpin Pakatan Harapan ada bertemu dengannya selepas selesai pembentangan itu dan memberitahu peruntukan yang diberikan kali ini sangat menyeluruh seperti yang biasa diberikan pada tahun pilihan raya umum diadakan.

“Saya menjawab bahawa kita perlu buat perubahan daripada kerajaan sebelum ini iaitu belanjawan kita ialah seperti belanjawan pilihan raya walaupun (tarikh) pilihan raya masih jauh. Kita harap boleh buat begini setiap tahun.

“Kita kena berusaha untuk buat perubahan yang telah kita janjikan kepada rakyat dan bagaimana susah sekalipun, kita kena berusaha. Setakat ini, banyak reaksi yang diterima yang pada keseluruhannya adalah positif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Pahang di Pejabat DAP Triang di sini semalam, yang turut dihadiri Pengerusi DAP Pahang Leong Ngah Ngah serta barisan kepimpinan parti.

Guan Eng juga menyifatkan belanjawan itu sebagai menyeluruh kerana dibuat secara ‘suci hati bagi membantu rakyat’ menyebabkan pembangkang tidak dapat membalas pembentangan tersebut.

“Jika kita menyaksikan pembentangan itu secara live, pembangkang begitu agresif pada peringkat awal namun bila saya sudah habis (membentangkan belanjawan) mereka semua sudah menghilangkan diri,” katanya.

Katanya, belanjawan itu bukan sahaja bermatlamat meningkatkan ekonomi negara, tetapi juga untuk kebajikan rakyat seperti menyediakan peluang pekerjaan, kesejahteraan wanita, mementingkan aspek pendidikan dan institusi keagamaan.

Sementara itu, Ngah Ngah pada ucapannya mengakui terdapat beberapa kelemahan yang masih wujud selepas lebih setahun perubahan kerajaan berlaku, namun ia boleh diperbaiki dari semasa ke semasa termasuk dalam menunaikan manifesto pilihan raya.

“Misi kita pada 2018 ialah menumbangkan kerajaan rasuah untuk menyelamatkan Malaysia dan kita berjaya. Sekarang masa untuk kita menampal lubang yang banyak dan ini mengambil masa.

“Namun, sekurang-kurangnya kita tidak mengamalkan rasuah dan itu yang paling utama… kita kena bersih dalam hasrat kita membantu rakyat,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :