Lim Guan Eng. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Guan Eng yakin dua ADN DAP ditahan tidak bersalah

KUALA LUMPUR, 11 OKT: DAP percaya dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADN) parti itu yang ditahan semalam kerana dikaitkan dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), tidak bersalah, kata Setiausaha Agung parti, Lim Guan Eng.

“Pembabitan mereka dalam DAP sehingga kini tidak menunjukkan kedua-dua mereka terlibat dalam sebarang aktiviti yang menyimpang daripada pendirian parti berhubung pemodenan, resolusi aman dan tiada kekerasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, DAP akan menyediakan pasukan peguam untuk mewakili kedua-dua ADN itu, manakala Naib Pengerusi parti, M. Kula Segaran telah diminta mewakili DAP dalam sebarang perhubungan antara parti dengan pihak berkuasa, pembuat undang-undang, dan anggota keluarga yang terlibat, mengenai perkara berkenaan.

“DAP berharap kedua-dua wakil rakyat kita akan menjadikan kesulitan semasa ini sebagai satu cabaran, dengan ketabahan dan kepercayaan, bahawa kebenaran akhirnya akan mengatasi segalanya, sekali gus akan membebaskan mereka,” katanya.

Media semalam melaporkan polis menahan tujuh individu, termasuk dua ADUN dari Melaka dan Negeri Sembilan, atas dakwaan terlibat dengan kumpulan LTTE.

– BERNAMA


Pengarang :