AGENDANASIONAL

Hampir 79 peratus aduan diterima, warga JKDM berkaitan rasuah

PELABUHAN KLANG, 4 OKT: Hampir 79 peratus aduan yang diterima Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) terhadap pegawai dan anggotanya adalah berkaitan rasuah, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Paddy Abd Halim.

Bagaimanapun, kata beliau, statistik berkenaan hanyalah berdasarkan kepada jumlah aduan yang diterima namun tidak semestinya ia menunjukkan warga jabatan itu memang banyak terlibat dengan gejala rasuah.

“Persepsi ini (JKDM terlibat dalam rasuah) tidak semestinya sahih tetapi aduan seumpamanya yang banyak kita terima. Namun, setiap aduan yang diterima, kita akan nilai dan dibawa ke lembaga tatatertib. Jika didapati bersalah, pegawai terlibat boleh dikenakan tindakan sehingga kepada dibuang kerja.

“Aduan diterima oleh cawangan integriti kita pula merekodkan 14 kes (berkaitan rasuah) sepanjang dua tahun lepas,” katanya semasa berucap pada majlis pelancaran Kempen Kastam Perangi Perasuah di Pelabuhan Barat, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan semua warga JKDM dan orang awam bahawa jabatan berkenaan amat serius dalam menangani kegiatan rasuah dan meminta supaya perilaku itu dapat dihentikan segera.

“Cawangan integriti kita banyak buat program naziran…kalau tak insaf, tak tahu nak buat apa lagi. Insaflah siapa yang buat itu. Mana-mana kawan yang kenal (terlibat dengan rasuah), nasihatlah. Buat apa nak sokong, kita nak dapat gaji halal,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan semua pihak termasuk warga JKDM agar melaporkan segera kepada agensi berwajib sekiranya mengetahui berlakunya kegiatan rasuah supaya ia dapat dibendung dengan tindakan lanjut.

Bercakap kepada media selepas itu, Paddy berkata, statistik jumlah aduan itu dijadikan satu penanda aras kepada jabatan berkenaan untuk memantau dan mengambil tindakan yang lebih tegas terhadap warganya jika didapati melakukan perbuatan tersebut.

“Kita memang ambil tindakan (sekiranya dapat dibuktikan berlaku kegiatan rasuah dalam kalangan warga JKDM), bukan kita tidak peduli. Namun tindakan itu akan dinilai bahagian integriti jabatan dan akan melibatkan SPRM jika perlu,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :