KPDNHEP boleh melaksanakan mekanisme kawalan harga barang jika berlaku kenaikan melampau. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Harga barang menjelang Deepavali terkawal

SHAH ALAM, 25 OKT: Harga barangan keperluan termasuk barang basah di sekitar Selangor didapati masih terkawal dengan hanya satu kes pelanggaran Pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Deepavali 2019 dikesan setakat ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, sejak skim kawalan harga itu dilancarkan pada Ahad lalu, sebanyak 1,180 premis telah diperiksa di negeri itu.

“Pemeriksaan dilakukan setiap hari oleh pegawai penguat kuasa serta pegawai pemantau harga kami dan hasil operasi mendapati hanya seorang peniaga didapati gagal mempamerkan tanda harga merah jambu, yang telah pun dikenakan kompaun.

“Kita juga ada menerima dua aduan tentang kenaikan harga barang namun kes ini masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menasihati semua peniaga supaya mematuhi harga maksimum yang ditetapkan untuk musim perayaan dan mempamerkan tanda harga merah jambu bagi barang kawalan untuk mengelakkan dikenakan tindakan

Bagi sambutan perayaan Deepavali tahun ini, sebanyak 19 barang diumum sebagai barangan kawalan selama 14 hari bermula Ahad lepas hingga 2 November ini antaranya kobis bulat import Indonesia dan China, kacang bendi; cili kering; ayam hidup, ayam standard, ayam super dan daging kambing tempatan bertulang.

Sementara itu, tinjauan di dua pasar di sekitar Klang hari ini mendapati ada peniaga menjual barangan kawalan pada kadar lebih rendah daripada yang ditetapkan dalam skim berkenaan, namun ada juga segelintir dikesan menjual dengan harga yang lebih tinggi.

Contohnya, terdapat peniaga menjual tomato dengan harga RM4 sekilogram berbanding harga runcit RM4.50 yang ditetapkan, kacang bendi dijual pada harga runcit RM6.50 sekilogram (berbanding RM7), namun ada juga didapati menjual ubi kentang pada kadar melebihi harga maksimum yang iaitu RM3.50 sekilogram berbanding RM3 yang ditetapkan.

Tinjauan juga mendapati rata-rata masyarakat India mengambil pendekatan berjimat cermat dalam menyambut Pesta Cahaya tahun ini bagi mengelak berlakunya pembaziran berikutan harga barangan bukan kawalan disifatkan agak tinggi.

– BERNAMA


Pengarang :