Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 7 Oktober 2019 untuk perbicaraan kes yang dihadapinya membabitkan rasuah lebih RM3 juta berhubung kelulusan pembelian sebuah hotel di Kuching. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Harga RM160 juta hotel di Sarawak ambil kira ‘Goodwill’ – Saksi

KUALA LUMPUR, 16 OKT: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad memaklumkan nilai pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) berjumlah RM160 mengambil kira ‘Goodwill’ kerana nama hotel tersebut telah lama diguna pakai dan dikenali di Kuching, Sarawak.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB), Mohd Zaid Abdul Jalil, 48, berkata, sebelum mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah (ALP) FICSB ke-10 pada 29 April 2014 berlangsung, Mohd Isa berjumpa dengannya dan memaklumkan bahawa harga pembelian hotel itu dikekalkan RM160 juta.

“Saya nyatakan kepada Tan Sri Isa bahawa saya cadangkan kepada ALP FICSB nilai pengambilalihan (hotel) adalah RM153 juta. Saya bertanya kepada beliau (Isa) bagaimana untuk justifikasikan lebihan RM7 juta itu untuk bersetuju dengan harga tawaran Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB) sebanyak RM160 juta.

“Tan Sri Isa menyatakan bahawa kita perlu mengambil kira ‘Goodwill’ iaitu nama MPHS yang telah lama diguna pakai dan dikenali di Kuching, Sarawak. Dengan ‘Goodwill’ ini maka harga RM160 juta boleh dijustifikasikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membaca penyataan saksinya pada hari keenam perbicaraan kes pecah amanah dan rasuah RM3 juta Mohd Isa berhubung pembelian MPHS bernilai RM160 juta oleh FICSB, di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Terdahulu, saksi pendakwaan ke-15 itu berkata, beliau mencadangkan kepada Mohd Isa agar pihak FICSB meminta diskaun RM10 juta daripada GAPSB berhubung pembelian hotel berkenaan.

“Tan Sri Isa bersetuju dan memaklumkan kepada saya untuk membangkitkan isu ini di dalam mesyuarat ALP FICSB ke-10 itu. Tan Sri Isa memaklumkan kepada saya bahawa dia akan meminta ALP FICSB bersetuju dengan diskaun sebanyak RM10 juta ini,” katanya.

Mohd Zaid juga mengesahkan bahawa beliau ada berjumpa dengan setiap ALP FICSB yang hadir beberapa hari sebelum mesyuarat ALP FICSB ke-10 itu.

“Saya ada berjumpa dengan Datuk Dr Omar Salim, Datuk Ehsannudin dan Datuk Faizoull Ahmad. Saya ada terangkan agenda-agenda yang dibincangkan dalam mesyuarat ALP FICSB ini.

“Saya ada beritahu tentang cadangan pengambilalihan MPHS ini yang pernah ditolak sebelum ini kerana harga tidak sesuai dan ia mengambil tempoh masa yang panjang untuk mendapat keuntungan bagi FICSB.

“Saya maklumkan kepada mereka yang cadangan ini dibentangkan semula dalam mesyuarat ini (mesyuarat ke-10) atas arahan Tan Sri Isa,” katanya.

Mohd Isa, 70, menghadapi satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta yang didakwa dilakukan di Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 29 April 2014 dan 11 Disember 2015.

Perbicaraan yang berlangsung di hadapan Hakim Mohd Nazlan bersambung esok.

– BERNAMA


Pengarang :