Pasukan bola sepak yang memenangi pertandingan pada Hari Bola Sepak Shah Alam sempena Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Shah Alam ke-19 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 5 dan 6 Oktober 2019. Foto MBSA
PBTSELANGOR

Hari Bola Sepak Shah Alam cungkil bakat pemain muda

OLEH ALIFF HAIKAL

SHAH ALAM, 7 OKT: Hari Bola Sepak Shah Alam sempena Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Shah Alam ke-19 memberi peluang kepada pemain-pemain muda menonjolkan bakat masing-masing seterusnya digilap menjadi pelapis sukan itu.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, penganjuran program sukan ini secara tidak langsung mampu melahirkan generasi muda dan masyarakat yang sihat dan aktif.

“Program pada 5 dan 6 Oktober lalu anjuran MBSA itu merangkumi dua acara serentak iaitu Kejohanan Bola Sepak Sembilan Sebelah dan Karnival Soccer Kids Shah Alam edisi ke-10,” katanya dalam kenyataan.

Majlis yang berlangsung di Dataran Kemerdekaan  tersebut dirasmikan oleh Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Haji Haris Kas.

Antara aksi perlawanan bola sepak sempena Hari Bola Sepak Shah Alam yang diadakan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 5 hingga 6 Oktober 2019. Foto MBSA

Menurutnya, pasukan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 8 dinobat sebagai juara pada Kejohanan Bola Sepak Sembilan Sebelah diikuti tempat kedua dibolot pasukan MPP Zon 13 manakala MPP Zon 23 di tempat ketiga.

Katanya, kejohanan Bola Sepak Sembilan Sebelah ini telah mempertandingkan Kategori Lelaki Terbuka dan melibatkan 15 pasukan.

“Pemenang tempat pertama menerima wang tunai RM5,000, piala iringan dan medal; tempat kedua menerima hadiah wang tunai RM3,000 dan medal manakala pasukan yang masuk ke separuh akhir menerima wang tunai RM1,500 dan medal,” katanya.

Sementara itu, Karnival Soccerkids Shah Alam pula mempertandingkan dua kategori iaitu melibatkan 32 pasukan kategori bawah 12 tahun manakala 32 pasukan kategori bawah sembilan tahun.

“Semua penyertaan pada karnival itu datang dari seluruh negara tetapi kebanyakannya dari Lembah Klang,” katanya.

Shahrin berkata, bagi kategori bawah sembilan tahun, johan dimenangi pasukan TKK FC, naib johan dirangkul pasukan Prestige FC manakala tempat ketiga dimenangi pasukan Soccer Star FC dan WP Junior FC.

“Johan bagi Kategori bawah 12 tahun pula dimenangi oleh pasukan Satu FC, naib johan pasukan Gen Pro X dan tempat ketiga dirangkul pasukan ST FC dan Young Guns,” katanya.


Pengarang :