Tun Dr Mahathir Mohamad (tiga, kiri) bersama isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali (dua, kiri) ketika hadir pada Majlis mengangkat sumpah jawatan Presiden Indonesia bagi pemerintahan penggal kedua (2019-2024) di Bangunan Parlimen Indonesia hari ini. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Hubungan Malaysia-Indonesia terus kukuh di bawah kepimpinan Jokowi

JAKARTA, 20 OKT: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, mengucapkan tahniah kepada Presiden Joko Widodo (Jokowi) atas pelantikannya sebagai Presiden Indonesia bagi penggal 2019-2024.

Dr Mahathir yakin hubungan akrab yang sedia terjalin antara Malaysia dan Indonesia, akan terus diperkukuhkan lagi demi kemakmuran serta kesejahteraan kedua-dua negara.

“Semoga Yang Mulia Bapak Presiden (Jokowi) serta seluruh rakyat Republik Indonesia sentiasa memperoleh rahmat dan keberkatan,” katanya dalam satu video ‘Chedet’, yang disiarkan televisyen Indonesia, TVRI, bersempena pelantikan Jokowi hari ini.

Presiden Jokowi hari ini mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia bagi penggal kedua, pada majlis pelantikannya di bangunan Parlimen Indonesia, yang turut dihadiri pemimpin luar, termasuk Dr Mahathir.

Dr Mahathir, yang diiringi isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, antara 17 pemimpin dan ketua negara yang hadir pada majlis pelantikan Jokowi serta naib presiden Indonesia, Ma’aruf Amin.

Selain Dr Mahathir, antara pemimpin dan ketua negara yang hadir ialah Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong, Perdana Menteri Australia, Scott Morrison dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen.

Jokowi kekal memimpin negara demokrasi ketiga terbesar di dunia itu bagi penggal kedua selepas memenangi Pilihan Raya Presiden 2019 pada 17 April lepas.

Jokowi bergandingan dengan Naib Presiden yang baharu, Ma’aruf Amin, 76, selepas pasangan itu menang pada Pilihan Raya Presiden 2019, menewaskan pencabar mereka, pasangan Prabowo Subianto dan Sandiaga Uno.

“Saya percaya Republik Indonesia di bawah gandingan kepimpinan Bapak Jokowi dan Bapak Ma’aruf Amin akan terus berjaya dan makmur,” kata Dr Mahathir.

-BERNAMA


Pengarang :