Gobind Singh Deo (dua dari kanan) merasmikan Pusat Kecemerlangan (CoE) Ideagen di Ideagen Malaysia, Subang Jaya pada 4 Oktober 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Ideagen tawar lebih 200 peluang pekerjaan teknologi digital

SUBANG JAYA, 4 OKT: Lebih 200 peluang pekerjaan dalam teknologi digital dan multimedia bakal wujud di Ideagen Malaysia (Ideagen) menerusi Pusat Kecemerlangan (CoE)nya iaitu cawangan pertama dibuka di tanah air, hari ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, antara pekerjaan yang bakal ditawarkan adalah berasaskan teknologi Sains Data, Kecerdasan Buatan (AI), Pembangunan Perisian, Teknologi Peranti Pintar (IoT), Transformasi Digital, Keselamatan Siber, Pemasaran Digital, Permainan, Animasi dan Multimedia Kreatif.

Katanya, beliau kagum dengan reputasi Ideagen sebagai penyedia perisian pengurusan risiko kepada syarikat dalam sektor terkawal seperti penerbangan, perbankan dan sains hayat.

“Kami mempunyai siri pertemuan peringkat tinggi dengan kerajaan United Kingdom (UK), industri dan akademik, untuk berkongsi amalan terbaik serta meneroka kerjasama dalam bidang ini.

“Saya amat berbesar hati melihat pengumuman pada 30 April lalu bahawa lima organisasi teknologi UK, termasuk Ideagen, merancang untuk melabur di Malaysia sekali gus mengukuhkan komitmen jangka panjang UK kepada rakan perdagangan dan pelaburan utama Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pembukaan CoE Ideagen di Wisma Conlay, Subang Jaya, di sini, hari ini.

Gobind Singh Deo berucap sempena Majlis Perasmian Pusat Kecemerlangan (CoE) Ideagen di Ideagen Malaysia, Subang Jaya pada 4 Oktober 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Gobind berkata, beliau lihat pelaburan itu satu daya tarikan kepada Ideagen memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan dan sebagai batu loncatan ke pasaran Asean.

Katanya, kerjasama teknologi dan ekonomi digital antara UK dan Malaysia penting memandangkan negara ini pasaran kedua terbesar di di ASEAN.

Beliau berkata, eksport Britain ke Malaysia berjumlah GBP2.4 bilion (RM12.4 bilion) manakala import dari Malaysia bernilai GBP2.4 bilion (RM12.4 bilion), tahun lalu.

“Saya optimis kerjasama yang lebih besar antara syarikat teknologi UK dan Malaysia serta sektor perniagaan secara amnya, yang akan memberi impak positif kepada ekonomi kedua-dua negara kita.

“Saya yakin bahawa komitmen baharu oleh syarikat teknologi tinggi UK akan mewujudkan banyak situasi menang-menang dan sinergi terbuka yang bakal menghasilkan perdagangan meningkat serta perniagaan berkaitan teknologi bagi kedua-dua negara,” katanya.


Pengarang :