EXCOSELANGOR

IKS disaran ceburi CRA, kenali tahap peroleh halal

SHAH ALAM, 10 OKT: EXCO menggesa lebih ramai perusahaan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta Syarikat Multinasional (MNC) di Selangor untuk terbabit dalam program Penilaian Kesediaan Sijil Halal Pertama dalam Talian (CRA).

EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, CRA adalah satu sistem laman sesawang memudahkan usahawan mengetahui tahap untuk melayakkan mereka memohon sijil halal.

Katanya, sistem itu dihasilkan dari syarikat Aspire Flagship dan turut mendapat kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi menilai tahap halal sesebuah syarikat.

“Perkembangan sistem ini berada pada integriti tertinggi manakala piawaian halal serta sistem pengurusan Pertubuhan Piawaian Antarabangsa (ISO) direka untuk memenuhi permintaan juga keperluan perdagangan industri halal global.

“Malah, sistem ini juga menyediakan maklumat analisis berkualiti, tidak berat sebelah berkaitan integriti halal dan pematuhan syariah produk serta perkhidmatan sehingga ke pasaran global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pelancaran Aspire Rating sempena Majlis Pameran Halal Antarabangsa di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Katanya, menerusi sistem itu ketidakfahaman berkenaan kesukaran mendapatkan pensijilan halal akan ditangani sewajarnya.

“Syarikat kini dapat mengakses sistem itu 24 jam seminggu dan menerima laporan kesediaan pensijilan apabila selesai penilaian.

“Aspire Flagship akan membantu IKS atau MNC mendapatkan sijil halal jika mereka berkelayakan dan mengikut garis panduan ditetapkan,” katanya.


Pengarang :