ADNSELANGOR

Ikut garis panduan keselamatan elak jejantas runtuh

KLANG, 25 OKT: Insiden jejantas runtuh di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Kebun, Klang, di sini, malam tadi boleh dielakkan jika pembangunan infrastruktur dijalankan mengikut garis panduan keselamatan.

Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, sikap mengutamakan keselamatan perlu menjadi amalan dan budaya masyarakat di negara ini.

“Saya merasa sedih dengan kejadian yang berlaku ini dan hampir membabitkan nyawa.

“Pemandu yang terhempap jejantas terpaksa bertarung nyawa hampir enam jam sebelum pihak bomba dan kontraktor dapat melepaskannya dari tersepit di ruangan kokpit yang remuk,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Zawawi berkata, nilai kerugian ekoran kejadian yang dipercayai akibat dirempuh sebuah lori itu dianggarkan lebih RM500,000.

“Jejantas yang baharu siap dibina ini masih belum dibuka dan dijangka digunakan menjelang awal tahun hadapan.

“Ia amat penting untuk kegunaan pelajar sekolah melintas jalan dengan selamat,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap kejadian seumpama itu menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya sentiasa berhati-hati dan tidak mengambil enteng dalam soal keselamatan awam membabitkan kerosakan harta benda serta nyawa manusia.

“Jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit dalam operasi menyelamat terutama anggota bomba, kontraktor, polis, ambulan dan orang awam yang datang mendoakan supaya misi berjaya,” katanya.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira 8.45 malam itu, pemandu lori berkenaan terlupa menurunkan ‘bucket’ atau bahagian belakang untuk meletakkan muatan lori itu sehingga merempuh jejantas berkenaan.

Pemandu lori berusia 24 tahun itu dilaporkan tersepit di tempat duduk kenderaan dan runtuhan jejantas berkenaan sehingga cedera parah di kedua bahagian tangan serta kaki.

Bagaimanapun, pemandu terbabit berjaya dikeluarkan pada jam 2.30 pagi.


Pengarang :