AGENDANASIONAL

Infrastruktur: Persekutuan tidak pinggir Kelantan

KOTA BHARU, 20 OKT: Kementerian Kerja Raya memberi jaminan akan melaksanakan pembangunan infrastruktur yang telah dirancang di Kelantan sekali gus menolak dakwaan negeri ini dipinggirkan.

Menterinya, Baru Bian berkata, tidak timbul isu kementerian itu meminggirkan rakyat Kelantan kerana nasib mereka tetap terbela melalui peruntukan besar yang disalurkan kepada negeri itu.

“Apa yang telah dirancang melalui kementerian akan tetap kita laksanakan terutama membabitkan soal pembangunan infrastruktur demi keselesaan rakyat negeri ini.

“Ini hasrat kerajaan baharu (Pakatan Harapan) demi untuk pembangunan semua,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pembukaan Projek Membina Lebuh Raya dari Kota Bharu ke Kuala Krai, Kelantan bagi Pakej 2A: Kadok ke Ketereh, di sini, hari ini.

Baru berkata, bagi tahun ini, di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas, sejumlah RM369 juta daripada keseluruhan peruntukan sebanyak RM5.715 bilion telah diperuntukkan oleh kerajaan Persekutuan untuk Kelantan bagi projek infrastruktur di bawah Kementerian Kerja Raya.

Katanya, ia membabitkan pembinaan jalan baharu, naik taraf jalan, pembinaan jambatan serta membaik pulih kawasan cerun.

Beliau berkata, selain itu, bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna, kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM44.4 juta pada tahun ini bagi menyelenggara 1,366 kilometer jalan Persekutuan sedia ada.

“Ia melibatkan RM15.8 juta bagi penyelenggaraan rutin dan RM28.6 juta bagi penyelenggaraan berkala,” katanya.

Mengulas projek lebuh raya sepanjang 61.4 kilometer, Baru berkata, projek itu akan disiapkan mengikut jadual.

Menurutnya, projek itu dibahagikan kepada tiga pakej utama bermula Rancangan Malaysia Kesepuluh dengan keutamaan pelaksanaan bagi pakej 1B, 2A, 2B, 2C dan 3A dari Pasir Hor ke Bukit Tiu, Machang dengan kos sebanyak RM1.45 bilion.

“Jajaran pakej 1B dari Pasir Hor ke Kadok sepanjang 7 kilometer telah siap dibuka pada Ogos 2018 manakala pakej 2A dari Kadok ke Ketereh sepanjang 6.58 kilometer telah pun dirasmikan pembukaan hari ini,” katanya.

Beliau berkata, jajaran yang sedang dalam pembinaan pula ialah pakej 2B dari Ketereh ke Kok Lanas sepanjang 6.2 kilometer yang akan siap pada November tahun depan.

Mengulas sama ada lebuh raya itu akan disambungkan sehingga ke Gua Musang, Baru berkata, perkara itu juga dalam perancangan bagi memendekkan masa perjalanan antara Kuala Lumpur dan Kota Bharu.

– BERNAMA


Pengarang :