AGENDANASIONAL

Inkues kes Adib: Polis akan panggil dua saksi pakar

KUALA LUMPUR, 9 OKT: Polis akan memanggil dua saksi pakar inkues kes kematian anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Muhammad Adib Mohd Kassim, dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.

Dua individu tersebut ialah Pakar Patologi Forensik United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid dan pakar fizik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Amir Radzi Ab Ghani.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, seorang daripada mereka akan hadir hari ini bagi dirakam keterangan manakala seorang lagi akan dipanggil dalam masa terdekat.

“Semasa inkues di Mahkamah Koroner, 30 saksi telah dipanggil dan 28 daripadanya merupakan saksi yang telah dirakam percakapan oleh polis.

“Polis juga telah membuat janji temu dengan beberapa saksi dan akan meneruskan siasatan selepas menerima arahan daripada pejabat Peguam Negara pada Jumaat lepas (4 Okt),” katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini hari ini.

Sementara itu, Huzir turut meminta semua pihak berhenti membuat spekulasi berhubung empat suspek yang terbabit dalam kes pembunuhan Muhammad Adib.

Katanya, empat individu berkenaan ditahan atas kesalahan insiden merusuh di MCT berhampiran lokasi kejadian serangan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Subang Jaya.

“Salah faham berhubung empat suspek yang dibebaskan dalam kes kematian Muhammad Adib sebelum ini adalah disebabkan kekeliruan dalam laporan beberapa media tempatan,” katanya menambah empat suspek terbabit adalah daripada enam orang ditahan di lokasi kejadian.

Jelasnya, empat suspek yang dibebaskan itu sebenarnya disiasat di bawah Seksyen 147, 427 dan 447 Kanun Keseksaan iaitu merusuh, pencerobohan jenayah dan mendatangkan bencana.

Selain itu, 56 daripada 66 orang yang disiarkan gambar mereka sebelum ini diminta tampil membantu siasatan kes kematian Muhammad Adib.

Katanya, individu terbabit diminta tampil sebelum polis menyiarkan kembali gambar mereka dalam masa terdekat.

Pada 27 Sept lepas, Koroner Rofiah Mohamad memutuskan punca kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.

Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember tahun lalu, selepas 21 hari bertarung nyawa susulan kejadian rusuhan di hadapan kuil berkenaan.

– BERNAMA


Pengarang :