AGENDA JENAYAH

Isa dibicara esok kes rasuah, pecah amanah lebih RM3 juta

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Perbicaraan kes rasuah dan pecah amanah bekas pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berjumlah lebih RM3 juta akan bermula esok di Mahkamah Tinggi di sini dengan pihak pendakwaan bersedia dengan lima saksi.

Mengikut senarai kes di mahkamah, perbicaraan kes itu akan didengar di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang bermula jam 9 pagi esok hingga 9 Oktober dan akan bersambung 14 sehingga 25 Oktober.

Pihak pendakwaan ketika ditanya mengenai kes itu memberitahu, pihaknya akan memanggil lima saksi untuk memberi keterangan esok.

Pada 14 Disember 2018, Mohd Isa mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pecah amanah, dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta, bagi meluluskan pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak, oleh Felda Investment Corporation (FIC) Sdn Bhd.

Dia dituduh melakukan kesalahan pecah amanah di Tingkat 50, Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC pada 29 April 2014, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mohd Isa, 70, didakwa melakukan semua kesalahan menerima rasuah di Tingkat 49, Menara Felda, antara 21 Julai 2014 dan 11 Dis 2015.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

– BERNAMA


Pengarang :