Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 7 Oktober 2019 untuk perbicaraan kes yang dihadapinya membabitkan rasuah lebih RM3 juta berhubung kelulusan pembelian sebuah hotel di Kuching. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Isa Samad arah bayar segera RM100 juta kepada FICSB untuk beli MPSH

KUALA LUMPUR, 9 OKT: Bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad mengarahkan Felda menyegerakan pembayaran RM100 juta kepada Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) untuk dibayar kepada Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAP) bagi pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

Bekas Pengarah Besar Felda Datuk Hanapi Suhada, 62, yang bersara wajib pada 2017 berkata beliau menerima arahan itu daripada Mohd Isa secara lisan pada Mei 2015.

FICSB yang merupakan anak syarikat Felda membeli MPHS bernilai RM160 juta pada 2015.

Hanapi yang merupakan saksi pendakwaan kelima berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz pada hari ketiga perbicaraan Mohd Isa berhubung kes pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta.

Afzainizam: Ada kamu memberi nasihat kepada Tan Sri Isa mengenai arahan tersebut?

Hanapi: Tidak, sebagai ketua (Tan Sri Isa) saya akur kepadanya.

Dalam prosiding semalam, saksi berkata arahan bagi menyegerakan pembayaran berjumlah RM100 juta perlu dibuat oleh FICSB kepada GAP kerana tarikh akhir pembayaran tersebut hampir tamat dan jika gagal membuat pembayaran ia akan menyukarkan FICSB dalam pemilikan MPHS.

Hanapi berkata ketika arahan itu dibuat, Ahli Lembaga Pengarah Felda belum mengeluarkan apa-apa keputusan berhubung pembelian MPHS.

Afzainizam: Adakah kamu tahu dokumen (bayaran RM100 juta) yang ditandatangani kamu itu tidak mendapat kelulusan dari Ahli Lembaga Felda?

Hanapi: Saya tidak tahu

Afzainizam: Jika kamu tahu ia tidak diluluskan, adakah kamu akan tandatangan?

Hanapi: Saya tidak akan tandatangan.

Afzainizam: Kamu bayar RM100 juta atas arahan Tan Sri Isa?

Hanapi: Ya.

Mohd Isa menghadapi satu pertuduhan pecah amanah, dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta yang didakwa dilakukan di Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 29 April 2014 dan 11 Dis 2015.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan bersambung Isnin.

-BERNAMA


Pengarang :