AGENDANASIONAL

Isu peralihan kuasa perlu dibincang secara dalaman

PONTIAN, 25 OKT: Isu peralihan kuasa antara Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim secara terperinci seharusnya dibincangkan secara muafakat dalaman antara pemimpin Pakatan Harapan (PH), kata Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu berkata, memang soal peralihan kuasa disebut ketika perjanjian awal antara empat pemimpin melibatkan beliau, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (ketika itu Presiden PKR), Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu (Presiden Amanah).

“Saya tak ingat.. Waktu kita nak bincang dulu siapa nak jadi Perdana Menteri (PM), siapa yang kita nak tonjolkan kepada calon, jadi kita kata Dr Mahathirlah… mula-mula ada juga yang tak berapa setuju tetapi akhirnya, ada persefahaman, OK Tun (Dr Mahathir) ditonjolkan sebagai PM sekiranya PH menang (Pilihan Raya Umum).

“Perkara ini adalah sesuatu yang semua pemimpin duduk berunding dan cari kata sepakat… tak usah bergaduh,” kata beliau kepada pemberita di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian, di sini, petang ini.

Muhyiddin berkata demikian ketika ditanya mengenai peralihan kuasa antara dua pemimpin itu dan sama ada, ada disebut tempoh peralihan ketika perjanjian awal antara empat pemimpin PH itu.

Ketika ditanya sama ada peralihan kuasa akan berlaku, beliau berkata: “Saya rasa kita tidak boleh mengelak peralihan kuasa ..jadi saya kata, biar perkara itu diteliti oleh pemimpin PH ..elok berbincang..Tun Dr Mahathir adalah pemimpin utama.. Kita tunggu..

Jelas beliau, apa yang lebih penting ialah bagi pemimpin PH menumpukan kepada soal membangunkan negara.

“Yang penting tumpukan pada soal pembangunan negara supaya PH sebagai sebuah kerajaan dilihat berkesan. Banyak perkara yang belum selesai. Saya fikir PM memang beri fokus soal itu supaya ekonomi pulih, rakyat rasa lebih baik, ini yang utama,” kata beliau.

Muhyiddin, yang juga Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, soal peralihan kuasa itu ditimbulkan oleh sesetengah pihak yang mahu menimbulkan ketidaktentuan, ketidakstabilan dalam PH.

Terdahulu, Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri menghadiri majlis ramah mesra antara warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) di IPD Pontian.

– BERNAMA


Pengarang :