AGENDANASIONAL

Isu teknikal punca pesawat Malindo Air lewat

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Malindo Air mengalami masalah gangguan teknikal bagi kendalian operasi daratannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 27 Oktober lepas yang menyebabkan kelewatan penerbangan ke bandar Tiruchirappalli di Tamil Nadu.

Masalah itu telah menyebabkan berlakunya pertengkaran antara petugas operasi dengan beberapa orang penumpang, demikian menurut syarikat itu dalam satu kenyataan, hari ini.

“Selepas gangguan teknikal itu dapat dikenal pasti, para petugas teknikal dan jurutera kami yang sememangnya terlatih telah melaksanakan prosedur operasi standard bagi memastikan pesawat itu layak untuk meneruskan penerbangan.

“Malindo Air amat menitikberatkan kesejahteraan dan keselamatan penumpang secara serius. Kami juga telah melaksanakan langkah tambahan demi kelancaran operasi penerbangan kami dan kejadian ini adalah sesuatu yang kami amat kesali,” katanya.

Menurut Malindo Air, pesawat terbabit bagaimanapun telah berlepas mengikut jadual baharu dan kemudahan makanan serta penginapan turut disediakan sepanjang tempoh kelewatan tersebut.

Syarikat itu juga menyuarakan rasa kesal terhadap kesulitan akibat kelewatan itu dan akan menjalankan satu siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian berkenaan.

– BERNAMA


Pengarang :