Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. meninjau persediaan menghadapi Monsun Timur Laut Pahang 2019/2020 di Depoh Jabatan Kebajikan Masyarakat di Kompleks Penyayang, Kuantan pada 28 Oktober 2019. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jaga kebersihan elak banjir kilat – TPM

KUANTAN, 28 OKT: Sikap dan rasa tanggungjawab masyarakat dalam menjaga kebersihan dapat membantu mengurangkan risiko kerosakan berlaku termasuk banjir kilat, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, selain kurang aspek penyelenggaraan terhadap sistem perparitan dan saliran, banjir kilat boleh berlaku akibat sikap segelintir masyarakat tidak menjaga kebersihan sehingga menyebabkan parit dan sistem saliran menjadi tempat pengumpulan sampah hingga tersumbat.

“Kita diberitahu bahawa infrastruktur (peparitan dan saliran) adalah baik walaupun ada aspek penyelenggaraan yang perlu diperbaiki selain amalan menjaga kebersihan perlu dijadikan budaya dan diterapkan sebagai tanggungjawab bersama dalam masyarakat.

“Kita sudah hadapi perkara ini (banjir kilat) untuk tempoh yang lama namun untuk mengubah sikap masyarakat supaya mereka juga ada rasa tanggungjawab itu mengambil masa yang panjang,” katanya pada sidang media selepas meninjau persediaan menghadapi Monsun Timur Laut Pahang 2019/2020 di Depoh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Kompleks Penyayang, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh yang juga Anggota Parlimen Kuantan, Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak, Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pelaksanaan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Zakaria Shaaban dan Pengarah JKM Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin.

Dr Wan Azizah berkata, mentaliti segelintir masyarakat yang beranggapan ‘tidak mengapa’ juga menyebabkan mereka kurang mengambil berat akan keperluan menjaga kebersihan kerana berasakan kejadian banjir kilat tidak akan berlaku terhadap mereka.

Sikap bertanggungjawab itu juga menurut Dr Wan Azizah, perlu dipraktikkan oleh mereka yang menghuni pusat pemindahan sementara (PPS) banjir kerana melibatkan penggunaan kemudahan secara berkongsi termasuk tandas.

Mengulas mengenai persiapan menghadapi banjir di Pahang, Dr Wan Azizah berkata, beliau berpuas hati dengan tahap kesiapsiagaan semua agensi terlibat bagi berdepan bencana banjir ekoran Monsun Timur Laut yang telah bermula 24 Oktober lalu dan diramal sehingga Mac depan.

“Terdapat 429 kawasan berisiko banjir yang dikenal pasti di Pahang dan setakat ini, kekuatan anggota bagi berdepan bencana ini ialah seramai 7,174 orang daripada pelbagai agensi termasuk polis, bomba, tentera dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

“Sebanyak 171 bot pelbagai jenis dan 421 kenderaan pelbagai guna siap untuk digerakkan apabila banjir berlaku selain 245 lokasi pendaratan helikopter telah dikenalpasti untuk tujuan penghantaran bantuan,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata, kerajaan Persekutuan juga telah memberi peruntukkan sebanyak RM1 juta bagi pembelian barangan keperluan asas dan RM3 juta untuk makanan kering kepada mangsa banjir yang akan ditempatkan di 662 PPS yang sudah dikenal pasti di seluruh Pahang.

Di Pahang, sebanyak 429 kawasan dikategorikan sebagai berisiko tinggi banjir dengan sebahagian besar bantuan barangan keperluan asas telah dihantar ke pangkalan hadapan bagi membolehkan proses pengagihan kepada mangsa banjir dilakukan segera, katanya.

“Stok keperluan setakat ini adalah mencukupi untuk menampung keperluan mangsa banjir termasuk bantuan segera yang dilihat cukup untuk tempoh antara tiga ke lima hari jika mangsa dipindahkan ke PPS sementara menanti bantuan seterusnya,” katanya.

Sebagai contoh, Dr Wan Azizah merujuk kepada Depoh JKM di sini, yang siap dibina pada 14 September 2018 dengan peruntukan RM3,7 juta telah sedia dilengkapi dengan stok selimut, tuala, susu tepung bayi, air minuman, makanan kering dan kit bencana.

– BERNAMA


Pengarang :