EXCO Kerajaan Negeri, Khairuddin Othman. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Jangan fitnah isu roboh rumah di Paya Jaras – Khairuddin

SHAH ALAM, 1 OKT: Ahli Dewan Negeri (ADN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman menasihati orang ramai tidak membuat sebarang tuduhan tidak berasas berkenaan isu Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kedondong, di Paya Jaras menerusi media sosial.

“Janganlah sekadar viral di facebook termasuk mendakwa penduduk terlibat mempunyai geran.

“Setakat ini, ada 92 buah rumah yang terlibat untuk dirobohkan. Buktikan daripada semua ini berapa banyak yang mempunyai geran?. Kita dapati hanya ada sebuah rumah yang mempunyai geran dan rumah berkenaan tidak dirobohkan serta tak terlibat dengan pembesaran sungai,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Sidang Media Misi Everest Camp 2019 di SACC Mall, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Khairudin berkata, penduduk juga boleh mengemukakan bukti sekiranya benar Kerajaan Negeri bertindak zalim.

Tegasnya, Kerajaan Negeri kesal kerana ada pihak yang sengaja mempolitikkan isu berkenaan sedangkan projek terbabit bertujuan untuk membantu mereka yang dihantui masalah banjir sejak sekian lama.

“Kita telah beri notis pada 2016 dan disusuli pada 2019 barulah tindakan diambil. Jika anda turun ke lokasi masih ada sembilan rumah yang tidak dirobohkan kerana menghormati kehendak penduduk yang memaklumkan anak-anak mereka menjalani peperiksaan.

“Kerajaan Selangor melaksanakan projek ini kerana memikirkan majoriti penduduk yang terkena banjir, jika tidak selesaikan, siapa lagi yang hendak lakukan?,” katanya.

Terdahulu pada 18 September lalu, operasi penguatkuasaan perobohan rumah yang dibina di atas rizab Sungai Kedondong dilakukan mengikut Seksyen 425, Kanun Tanah Negara iaitu pendudukan secara tidak sah di atas tanah Kerajaan.

Dilaporkan projek tebatan banjir berkenaan sudah tertangguh sejak 2015, dan susulan kelewatan itu Selangor menanggung kerugian jutaan ringgit.

Selain itu, bencana banjir juga terus melanda penduduk empat kawasan berdekatan iaitu Kampung Paya Jaras Hilir, Paya Jaras Dalam, Paya Jaras Tengah dan Paya Jaras Hulu.


Pengarang :