AGENDANASIONAL

Jenazah Azalan dibawa pulang selewat-lewatnya Sabtu

SHAH ALAM, 17 OKT: Jenazah pekerja Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Azalan Miswan yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Turki semalam akan dibawa pulang selewat-lewatnya Sabtu ini.

Ketua Pegawai Operasi PKNS, Norita Mohd Sidek berkata, pihaknya sedang berusaha menempah penerbangan awal bagi membolehkan jenazah pekerjanya itu dikebumikan di tanah air.

“Kami sedang berusaha untuk mendapatkan penerbangan pulang yang paling awal, mungkin esok atau Sabtu ini untuk membawa jenazah pekerja kami pulang, penerbangan itu nanti turut akan disertai oleh lain-lain kakitangan kami yang tidak tercedera atau telah dibenarkan keluar dari hospital.

“Jika mereka tidak dibenarkan keluar dari hospital lagi kami akan membawa mereka pulang melalui penerbangan yang lain,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Tambah Norita, berdasarkan maklumat yang diterima PKNS, seramai sembilan kakitangannya turut cedera dalam kemalangan berkenaan dan lapan masih dirawat di tiga hospital berlainan.

“Mereka ini mengalami pelbagai jenis kecederaan, ada yang patah kaki, ada yang patah tangan malah ada yang cedera di muka, kakitangan PKNS yang tidak cedera dan telah dibenarkan keluar hospital kini ditempatkan di hotel penginapan sementara yang disediakan oleh Kedutaan Malaysia di Ankara, Turki,” katanya.

Gambar Facebook Noreen Kartal

Menurut Norita lagi, beliau difahamkan kejadian yang mengorbankan seorang pekerjanya yang telah 28 tahun berkhidmat itu berpunca daripada salah satu tayar bas berkenaan telah meletup dan menyebabkan pemandu bas hilang kawalan sebelum terbalik.

Tambah Norita lagi, pihak PKNS amat berterima kasih kepada Kementerian Luar, Kedutaan Malaysia di Ankara, Turki, Kedutaan Turki di Kuala Lumpur dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari kerana banyak membantu dan memberi sokongan moral terhadap PKNS dalam menghadapi kejadian ini.

Kementerian Luar mengesahkan seorang rakyat Malaysia maut manakala 10 yang lain cedera dalam satu kemalangan melibatkan bas yang membawa rombongan seramai 35 kakitangan PKNS di Afyonkarahisar, Turki.

Kemalangan kira-kira pukul 11.35 pagi semalam waktu tempatan itu menyebabkan bas pelancong dinaiki kumpulan rakyat Malaysia tersebut terbalik ketika dalam perjalanan dari Pamukkale ke Cappadocia.

– BERNAMA


Pengarang :