AGENSISELANGOR

JKN Selangor rampas produk makanan, 16 premis disita

SHAH ALAM, 22 OKT: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Selangor merampas sebanyak 648 produk makanan pelbagai jenis bernilai RM20,560.50 dalam ‘Ops Khas Akuan Kesihatan’ yang diadakan di seluruh negeri pada 17 Oktober lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata, operasi dilakukan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) itu turut menyita 16 premis jualan kerana tidak mematuhi keperluan pelabelan produk makanan yang dinyatakan di dalam Peraturan-Peraturan Makanan (PPM) 1985.

“Objektif operasi ini adalah untuk mengenalpasti kepatuhan akuan yang dibenarkan pada pelabelan produk makanan dan minuman kesihatan yang berada di premis jualan dengan menyasarkan premis jualan seperti farmasi, kedai jamu dan kedai jualan runcit

“Antara kesalahan yang paling ketara dikenalpasti adalah terdapat akuan kesihatan yang tidak dapat disahkan dan mengandungi pernyataan mengenai khasiat sesuatu makanan dalam perawatan atau penyembuhan penyakit tertentu.

“Di samping itu, perihal penandaan tarikh juga dititikberatkan penjualan atau mengimport produk makanan yang telah tamat tarikh adalah tidak dibenarkan seperti yang diperuntukkan di bawah Peraturan 14(9)(b) PPM 1985.

“Selain itu, perkara lain yang turut diperiksa bagi semua label makanan adalah berkenaan nama dan alamat pengilang yang perlu dinyatakan sebagaimana yang diperuntukan di bawah Peraturan 11(1)(j) PPM 1985 iaitu bagi produk makanan yang dikeluarkan, disediakan atau dibungkus di Malaysia, label makanan perlu menyatakan nama dan alamat pengilang atau pembungkus atau pengedar,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, bagi produk makanan yang diimport, label makanan perlu menyatakan nama dan alamat pengilang di luar negara serta nama dan alamat syarikat pengimport di Malaysia.

Dalam operasi sama, sebanyak 10 notis di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 bagi pelbagai kesalahan yang boleh dikompaun telah dikeluarkan dengan nilai kompaun berjumlah RM30,000.


Pengarang :