– Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Jokowi angkat sumpah esok, Jakarta tingkat kawalan keselamatan

JAKARTA, 19 OKT: Isu keselamatan menjadi perhatian utama semasa majlis pelantikan Presiden ndonesia esok, apatah lagi bila majlis itu turut dihadiri pemimpin luar negara termasuk Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad.

Presiden Joko Widodo, 57, akan mengangkat sumpah pelantikannya di bangunan parlimen Indonesia jam 2 petang esok, selepas memenangi pilihan raya Presiden 2019 pada 17 April lalu.

Tempoh pentadbirannya bagi penggal pertama (2014-2019) tamat hari ini (19 Okt 2019).

Perdana Menteri Malaysia dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Halim Perdanakusuma, Jakarta, jam 11.15 pagi waktu Indonesia Barat, untuk menghadiri majlis pelantikan itu.

Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Zainal Abidin Bakar berkata kehadiran Tun Dr Mahathir itu adalah manifestasi tentang keakraban hubungan kedua-kedua pemimpin itu, dan keutuhan hubungan Malaysia dan Indonesia.

Tun Dr Mahathir akan diiringi isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

“Teras hubungan Malaysia dan Indonesia adalah kedekatan kedua dua pemimpin, (majlis pelantikan Jokowi) membuka lembaran baru persahabatan dalam penggal kedua pemerintahan Jokowi agar terus kukuh,” kata Zainal Abidin.

Kota Jakarta kini “dikawal ketat” polis dan tentera Indonesia, bagi memastikan majlis pelantikan Presiden dan Naib Presiden yang baharu, Ma’ruf Amin berjalan lancar.

Isu keselamatan menjadi fokus pihak berkuasa Indonesia, berikutan beberapa kejadian rusuhan dan demonstrasi, isu berkaitan etnik di Papua dan Kalimantan, isu pindaan rang undang-undang berkaitan jenayah dan rasuah serta kejadian seorang menteri Indonesia ditikam baru-baru ini.

Lebih 30,000 anggota polis dan tentera ditugaskan menjaga keamanan di ibu kota Jakarta, terutamanya di kawasan parlimen Indonesia, Istana Merdeka dan kawasan-kawasan strategik di Jakarta.

Tun Dr Mahathir Mohamad (kanan) bersama Joko Widodo semasa sambutan rasmi di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra sempena lawatan rasmi Presiden Indonesia ke Malaysiapada 8 Ogos 2019. Foto BERNAMA

Anggota tentera dan polis jelas kelihatan berkawal di setiap kawasan strategik di kota Jakarta, manakala di bangunan parlimen Indonesia, anggota polis dan tentera melakukan kawalan ketat di kawasan dalam dan luar bangunan itu.

Jalan sekeliling bangunan parlimen – Jalan Gatot Soebraoto, Jalan Gelora dan Jalan Parlimen, Jalan Palmera dan Jalan Gelora, ditutup kepada lalu lintas.

Menurut Polis Indonesia memetik laporan agensi berita Antara, sebanyak 22 orang ditahan sejak September lepas kerana dipercayai mahu merencana tindakan keganasan dan rusuhan menjelang pelantikan Presiden itu.

Polis turut merampas bom buatan sendiri dan molotov koktel yang dipercayai akan digunakan untuk memcetuskan hura-hara.

Zainal Abidin berkata kedutaan Malaysia turut mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa Indonesia bagi memastikan langkah-langkah dan kawalan keselamatan terjamin semasa kehadiran Perdana Menteri Malaysia.

Menurut Majlis Perwakilan Rakyat (MPR) Indonesia, sebanyak 17 pemimpin dan ketua negara luar akan turut hadir pada majlis pelantikan presiden itu.

Selain Tun Dr Mahathir, antara ketua negara lain yang dijadualkan hadir ialah Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzadin Waddaulah; Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Long; Perdana Menteri Australia, Scott Morrison; dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen.

Seorang penganalisis politik ketika ditanya Bernama berkata majlis pelantikan itu seharusnya menjadi acara yang “disukai rakyat” kerana Jokowi adalah pilihan rakyat, dengan majoriti undi yang diperolehinya hampir 17 juta undi.

Pada 21 Mei lepas, Komisi Pemilihan Umum mengumumkan kemenangan Jokowi, 57, bersama pasangannya untuk jawatan naib presiden, Ma’ruf Amin, 76, memperolehi 85,607,362 undi, manakala Prabowo Subianto, 67, dan pasangannya untuk jawatan naib presiden, Sandiaga Uno, 49, memperolehi 68,650,239 undi.

“Tapi pelantikan (angkat sumpah presiden) kali ini seperti Jakarta sedang “darurat”, polis dan tentera berkawal di mana- mana, tidak seperti tahun 2014 (sewaktu lantikan Jokowi sebagai presiden penggal pertamanya).

“Suasana “tegang” ini mungkin disebabkan demosntrasi dan rusuhan kebelakangan ini di Jakarta, selain isu yang menimbulkan kemarahan pihak tertentu berkaitan pindaan rang undang-undang rasuah dan jenayah, selain ketegangan kaum yang berlaku di Papua, serta mungkin keadaan ekonomi dan kos sara hidup yang semakin tinggi,” kata penganalisis itu.

-BERNAMA


Pengarang :