– Foto AFP
AGENDA BERITA UTAMA GLOBAL

Jokowi umum kabinet baharu Ahad ini

JAKARTA, 18 OKT: Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) berkata, beliau akan segera mengumumkan senarai menteri kabinetnya yang baharu selepas mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia untuk penggal 2019-2024 pada Ahad ini.

“Saya umumkan segera setelah pelantikan Presiden pada 20 Oktober, bisa hari yang sama atau setelahnya,” katanya menerusi akaun Twitternya @Joko Widodo, semalam.

Menerusi Twitternya hari ini, Jokowi berkata, sepanjang lima tahun pemerintahannya bermula 2014, pelbagai pembangunan infrastruktur menjadi fokus pentadbirannya.

“Lima tahun periode (penggal) ini adalah lima tahun pembangunan infrastruktur di semua bidang: jalan, jalan tol (lebuh raya), jambatan, pelabuhan, bendungan (empangan), bandara (lapangan terbang), sampai pos lintas batas negara (pos kawalan sempadan),” katanya.

Menurut penganalisis politik, Jokowi dijangka terus memfokuskan pembangunan infrastruktur dan program penjanaan ekonomi kreatif serta menggalakkan pelaburan luar dalam mencapai misi Indonesia menjadi negara maju 2030.

Pemerhati dan penganalisis politik serta media tempatan menjangkakan Jokowi akan mengekalkan jumlah 34 kementerian, menerusi gabungan kementerian tertentu serta mewujudkan dua kementerian baharu berkaitan digital serta ekonomi kreatif dan investasi (pelaburan).

Presiden Indonesia mempunyai hak prerogratif dalam melantik anggota kabinet menterinya sama ada daripada kalangan profesional atau politik.

Jokowi, kekal mempertahankan jawatan presiden Indonesia selepas menang pada pilihan raya presiden 2019 pada 17 April lepas.

Tempoh pentadbirannya bagi penggal pertama (2014-2019) akan tamat pada 19 Oktober ini.

– BERNAMA


Pengarang :