AGENDANASIONAL

JPJ: Tindakan tegas pemandu tidak patuh peraturan e-hailing

PUTRAJAYA, 10 OKT: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menguatkuasakan peraturan e-hailing secara tegas apabila pelaksanaannya bermula 12 Oktober ini, kata Pengarah Penguatkuasa JPJ Khairul Anwar Bachok.

Beliau berkata pemandu kenderaan e-hailing diberi masa mencukupi bagi mematuhi peraturan dan syarat ditetapkan kerajaan termasuk tempoh tiga bulan untuk pendekatan secara pemantauan dan pendidikan.

Alasan pemandu tidak cukup masa untuk mematuhi peraturan ditetapkan tidak boleh diterima kerana mereka telah diberi peringatan serta dibenarkan terus beroperasi dalam tempoh tiga bulan penguatkuasaan secara advokasi sejak Julai lalu, katanya.

“Pada saya, masa yang diberi mencukupi. Kita tidak boleh terus berlembut dalam soal penguatkuasaan peraturan dan undang-undang bagi mengelak dituduh sebagai tidak tegas,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sebelum ini, dilaporkan operator e-hailing mempersoalkan dua peraturan baharu JPJ iaitu penukaran kod kenderaan kepada ‘AH’ (e-hailing persendirian) dan pemandu mesti mencetak Permit Kenderaan E-hailing (eVP) dengan berurusan di kaunter JPJ.

Mereka mendakwa tidak mempunyai masa yang cukup untuk berbuat demikian jika peraturan itu dikuatkuasakan pada Sabtu ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook semalam dilaporkan berkata penukaran kod kenderaan ke ‘AH’ dan mencetak eVP tidak perlu dilakukan pemandu atau pemilik kenderaan terbabit dan mereka juga tidak perlu ke JPJ untuk melakukan urusan berkenaan kerana ia akan didaftarkan secara automatik dalam sistem mySIKAP.

Sementara itu, Khairul Anwar berkata sebanyak 11 bas pekerja dan sebuah van persendirian yang beroperasi mengambil penumpang di Putrajaya ditahan dalam satu operasi yang dijalankan jabatan itu di sini petang semalam.

Beliau berkata kesemua kenderaan itu disita kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, antaranya lesen kenderaan tamat tempoh, tiada perlindungan insurans dan tiada lesen memandu.

“Ini adalah kesalahan serius kerana melibatkan kelestarian keselamatan jalan raya dan tindakan tegas akan diambil kepada pemandu dan syarikat terbabit,” katanya serta menambah kesemua pemandu terbabit adalah warga tempatan berumur antara 20 dan 32 tahun.

-BERNAMA


Pengarang :