S Arivainthan, 27, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar pada 29 Oktober 2019 atas tuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE.. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Juruteknik, pemandu teksi didakwa atas tuduhan sokong LTTE

KUALA KANGSAR, 29 OKT: Seorang juruteknik, S Arivainthan, 27, dan pemandu teksi, V Balamurugan, 37, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar hari ini atas tuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), sejak 2014.

Kedua-dua mereka yang berpakaian lokap warna ungu hanya mengangguk faham dan tiada pengakuan direkodkan setelah pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohaida Ishak.

Mengikut pertuduhan, Arivainthan dan Balamurugan didakwa memberi sokongan kepada LTTE pada satu majlis di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar Cawangan Sungai Siput (Utara) antara 6.30 petang sehingga 11.45 malam, 28 Disember 2014 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan.

Mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan, tertuduh jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara seumur hidup atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu.

Selain itu, Balamurugan turut didakwa memiliki item berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan LTTE dalam seunit telefon bimbit jenama Samsung Galaxy A7 di Perkarangan Stesen Teksi Sungai Siput (U) kira-kira pukul 9.40 pada 10 Oktober lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda dan hendaklah juga dilucuthakkan mana-mana item tersebut.

Pemandu teksi itu juga didakwa memiliki dan mempamerkan item berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan dengan LTTE di sebuah premis di No 52 Taman Bukit Medan, Sungai Siput (U) pada pukul 9.50 pagi pada 10 Oktober lepas.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan dan Seksyen 130JB(1)(b) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda dan hendaklah juga dilucuthakkan mana-mana item tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aliff Asraf Anuar Sharuddin, manakala Arivainthan diwakili peguam RSN Rayer, sementara Balamurugan diwakili Farhan Fadzil dan Matthews Jude.

Terdahulu, barisan peguam bela memohon mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin atas alasan mereka dituduh mengikut Kanun Keseksaan yang tiada kenyataan dan izin daripada pihak pendakwa raya yang mewajibkan mahkamah menjalankan prosiding itu mengikut kaedah atau peruntukan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Bagaimanapun mahkamah tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin kerana membabitkan jenayah keselamatan dan menetapkan menetapkan 28 November depan untuk sebutan semula kes.

Sementara di luar mahkamah, Rayer memberitahu pihaknya akan membuat rayuan berhubung isu ikat jamin anak guam mereka di Mahkamah Tinggi Ipoh selewat-lewatnya esok.

– BERNAMA


Pengarang :