AGENSISELANGOR

Kawal sebaran Syiah menerusi media sosial

SHAH ALAM, 22 OKT: Ancaman sebaran Syiah perlu dikawal menerusi aplikasi ‘panas’ antaranya Facebook, Instagram dan Twitter, demikian saran ahli mesyuarat Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Katanya, kawalan itu perlu dilakukan memandangkan semua media sosial berkenaan sukar dikawal.

“Oleh sebab itu, tanggungjawab ini bukan sahaja perlu dipegang oleh pihak berkuasa, tetapi semua individu termasuk golongan remaja.

“Sikap ulama Syiah dan pengikutnya sejak dahulu mengkufurkan dan mencerca sahabat seperti Abu Bakar, Umar, Aishah serta ramai lagi menimbulkan keresahan umat dan pergeseran yang tajam dalam masyarakat Malaysia.

“Mereka sering menimbulkan provokasi keras dan fahaman ekstrim kepada rakyat Malaysia yang selesa sejak sekian lama dengan aliran mazhab Syafie,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis ‘Syiah-Satu Ancaman Akidah’ anjuran MAIS bertempat di De Palma Hotel Shah Alam, semalam.

Mohd Zawawi yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis berkata, program itu bertujuan untuk memberi penerangan kepada semua anggota MAIS, pegawai Kerajaan Negeri, pemimpin badan bukan kerajaan Islam dan pimpinan komuniti di Selangor berkenaan ancaman Syiah.

“Justeru itu, setiap pimpinan dan anggota masyarakat perlu sedar tentang perkembangan Syiah ini serta sentiasa merujuk kepada pihak berkuasa untuk mendepani isu berkenaan,” katanya.


Pengarang :