AGENDABERITA UTAMANASIONAL

KDN haram komik promosi ideologi komunisme

PUTRAJAYA, 23 OKT: Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini mewartakan perintah larangan terhadap komik “Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama” termasuk versi bahasa Inggeris dan bahasa Cina penerbitan tersebut.

KDN dalam kenyataannya berkata penerbitan itu dikenakan perintah larangan kerana terdapat kandungan yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan serta mungkin menggemparkan fikiran orang ramai.

“Kandungan penerbitan ini antara lain cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme, menyebarkan fakta yang salah dan mengelirukan tentang komunis serta mengandungi unsur untuk membangkitkan sokongan dan simpati terhadap perjuangan komunis.

“Ia juga boleh menimbulkan keraguan kepada pembaca khususnya generasi muda tentang sejarah Malaysia, seterusnya mempertikaikan usaha serta perjuangan tokoh atau pemimpin negara terdahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan dan membangunkan negara,” katanya.

KDN berkata kandungan penerbitan itu juga dlilihat tidak mengambil kira sensitiviti rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama serta dibimbangi boleh memecah belahkan keharmonian dan perpaduan masyarakat di negara ini.

KDN berkata warta perintah larangan itu adalah mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) yang menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan itu adalah dilarang secara mutlak di Malaysia.

Mana-mana individu yang disabitkan dengan kesalahan tersebut boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau didenda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya, katanya.

KDN berkata jika masyarakat awam mendapati masih terdapat penerbitan yang mungkin melanggar undang-undang negara diedarkan di pasaran, aduan boleh dibuat kepada Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan, KDN di talian telefon 03-88868047 atau faks ke 03-88891682 atau melalui Sistem Pengaduan Awam Bersepadu KDN di laman sesawang http://moha.spab.gov.my.

Baru-baru ini, media melaporkan komik berunsur propaganda itu dipercayai diedarkan ke Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) di negara ini.

– BERNAMA


Pengarang :