Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru SJKC Bandar Sungai Long, Lee Kok Hoon. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
PENDIDIKANSELANGOR

Kebunku latih murid lebih berdikari

KAJANG, 1 OKT: Setelah hampir setahun dijalankan, Program Kebunku di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Sungai Long berjaya melatih murid menjadi individu yang lebih peka dan bertanggungjawab.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Gurunya, Lee Kok Hoon berkata, perubahan positif itu dilihatnya setelah murid berkenaan dilantik menjadi pengendali tanaman melalui Program Kebunku yang bermula Januari lalu.

“Saya dapati ada murid yang sebelum ini pada waktu rehat lebih suka merayau dan menghabiskan masa dengan aktiviti tidak berfaedah tetapi setelah adanya Projek KebunKu mereka lebih suka memantau tanaman di kebun kerana bimbang ianya rosak.

“Begitu juga keadaannya pada hujung minggu, ada ibu bapa yang memberitahu anak mereka sentiasa hendak ke sekolah kerana mahu menyiram pokok yang mana saya lihat ia adalah perubahan positif,” katanya kepada SelangorKini.

Hee Loy Sian (empat, kiri) melawat kewasan kebun kecil ketika Program Kebunku Geran Kecil Teknologi Hijau 2019 di SJKC Bandar Sungai Long, Kajang pada 28 September 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Mengulas lanjut, Kok Hoon berkata, antara pokok ditanam murid Tahun Satu hingga Enam itu termasuk pokok kangkung dan bawang.

“Setelah hasil diperoleh, ianya akan diberi kepada murid yang menjaga kebun dan kami tidak berhasrat untuk menjual hasil sayur-sayuran ini kerana mahu ibu bapa murid berkenaan rasa bangga dengan anak mereka.

“Pada saya program ini memberi kesan amat baik kepada peribadi anak-anak dan berharap supaya Kerajaan Negeri meneruskannya pada masa akan datang,” katanya.

Terdahulu pada Julai lalu, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM750,000 bagi Geran Kecil Teknologi Hijau dan Alam Sekitar kepada 109 persatuan dan organisasi dari seluruh Selangor.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, daripada jumlah itu sebanyak 55 persatuan menerima Geran Kecil Alam Sekitar sementara 54 lagi menerima Geran Kecil Teknologi Hijau.

Katanya, geran terbabit akan membiayai projek berkaitan konservasi alam sekitar dan penggunaan teknologi hijau.

Antara projek yang boleh dilaksanakan adalah penanaman pokok, kitar semula sisa, pendidikan alam sekitar, pemuliharaan air, penjimatan tenaga serta pendidikan dan kesedaran komuniti tentang perubahan iklim.


Pengarang :