ADNSELANGOR

Kediaman musnah, ADN bantu mangsa kebakaran

SHAH ALAM, 3 OKT: Seramai 24 mangsa di Kampung Baru, Jalan Kebun, ditempatkan sementara di Sekolah Kebangsaan Jalan Kebun, semalam selepas kediaman masing-masing musnah dalam kebakaran.

Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, kebakaran pada kira-kira jam 7 pagi itu meranapkan lima buah kedai dan tiga rumah penduduk.

Katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Lembaga Zakat Selangor sudah membuat proses pendataan untuk tindakan lanjut.

“Antara kedai yang terbakar ialah bengkel motosikal serta kedai barangan kelengkapan haji dan umrah milik Pertubuhan Darus Solihin.

“Premis perniagaan ini salah satu punca pendapatan bagi menampung keperluan seharian pelatih serta penghuni di sana.

“Kebakaran begitu pantas dan bomba tiba ke tempat kejadian beberapa minit kemudian dengan api dapat dikawal dari terus merebak,” katanya kepada SelangorKini.

Mohd Zawawi berkata, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Jalan Kebun dan Masjid An Naim kini mengelolakan tabung bencana untuk membantu mangsa.


Pengarang :