Semua pelajar sekolah menengah dan rendah yang memenangi anugerah dalam Kempen Kitar Semula bersama Fraser dan Neave Holdings Berhad (F&NHB) bergambar bersama cek replika.
PBTSELANGOR

Kempen kitar semula F&N-MPSJ kumpul 78,546.71 kg

SUBANG JAYA, 8 OKT: Sejumlah 78,546.71 kilogram (kg) bahan kitar semula berjaya dikumpulkan oleh pelajar sekolah rendah dan menengah di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) sejak 1 Mac hingga 30 Ogos lalu.

Yang DiPertua MPSJ, Noraini Roslan berkata, Kempen Kitar Semula bersama Fraser dan Neave Holdings Berhad (F&NHB) tahun kedua itu menyaksikan peningkatan kutipan empat kali ganda daripada 18,328.12 kg tahun lalu.

Katanya, penyertaan bilangan sekolah turut meningkat daripada 29 buah sekolah kepada 47 buah sekolah tahun ini.

“Kejayaan kempen tahun ini mencerminkan tahap kesedaran lebih tinggi terhadap pemuliharaan alam sekitar dan komitmen untuk berusaha membina masa depan yang lebih bestari.

“Kempen selama enam bulan ini diadakan untuk mendidik pelajar sekolah tentang cara sewajarnya bagi mengumpul, mengasingkan dan mengitar semula bahan buangan berasaskan konsep 5R iaitu Kurangkan (Reduce), Guna Semula (Reuse), Kitar Semula (Recycle), Fikir Semula (Rethink) dan Cipta Semula (Reinvent),” katanya.

Noraini Roslan (tengah) menyampaikan Anugerah Khas bagi jumlah aluminium paling banyak dikumpulkan kepada Sekolah Menengah Seri Serdang

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Hadiah Khas Kitar Semula F&N-MPSJ (Modul Alam Sekitar) di bawah Program Generasi Bestari (Gen S) MPSJ, di Dewan Kenanga, Ibu Pejabat MPSJ, di sini.

Hadir sama Timbalan Yang DiPertua MPSJ, Zulkarnain Che Ali dan Ketua Komunikasi dan Korporat F&NHB, Karen Tan

Sementara itu, Karen Tan berkata, kempen itu membantu memupuk sifat tanggungjawab dalam kalangan generasi muda mengiktiraf amalan kitar semula yang baik.

Katanya, usaha itu penting mengurangkan pelupusan bahan buangan dan kawasan kambusan tanah selain memulihara sumber semula jadi.

“F&N sentiasa komited meningkatkan kesedaran awam terhadap perlindungan alam sekitar terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah membina masa depan yang lebih selamat, hijau dan sihat untuk semua.

“Usaha menggalakkan pelajar untuk mula mengitar semula boleh membantu memupuk gaya hidup yang mesra alam sejak dari usia muda dan mendorong mereka prihatin terhadap bumi kita,” katanya.

Dalam kempen itu, sebanyak 30 sekolah rendah dan 17 sekolah menengah bersaing antara satu lain mengumpulkan jumlah bahan kitar semula terbanyak termasuk kertas, plastik, aluminium, kotak minuman dan e-buangan bagi merebut wang tunai berjumlah RM14,800.

Sekolah Menengah Kebangsaan USJ 12 dinobatkan sebagai juara bagi kategori sekolah menengah dan Sekolah Kebangsaan Pusat Bandar Puchong (1) menjuarai bagi kategori sekolah rendah.


Pengarang :